GOPENG – Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi sedang mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti Mei nanti.
Beliau yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak berkata, keputusan itu sedang diteliti susulan akar umbi parti mahu beliau bertanding di peringkat pusat.
“Ada hasrat daripada akar umbi di Perak meminta saya menawarkan diri bertanding di peringkat MPP parti.
“Namun begitu saya akan mempertimbangkan perkara itu dan akan buat keputusan sebelum tarikh pengundian nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2025 di Pasar Raya Mydin, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini pada Ahad.
Pada majlis, seramai 200 keluarga dalam kawasan DUN Tualang Sekah terpilih menerima wang tunai RM150 bagi membeli keperluan dan persiapan raya melibatkan peruntukan keseluruhan RM30,000.
Dalam pada itu Mohd Azlan berkata, beliau mengesahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Kampar bagi pemilihan April ini.
“Alhamdulillah, saya sudah menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR di Kampar,” ujarnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April. – MG Perak
Artikel Berkaitan: