Pemilik ladang ayam simpan 181 tong gas tanpa permit

TAPAH – Gagal mempamerkan permit penyimpan barang kawalan berjadual melibatkan tong gas petroleum cecair (LPG), sebuah ladang ternakan ayam di sini, bakal berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ia ekoran hasil hasil risikan dan pemantauan oleh anggota Penguat Kuasa KPDN selama dua minggu ke atas aktiviti pengedaran LPG di kawasan ladang berkenaan.

Menurut beliau, ekoran itu, sebuah operasi pemeriksaan barang kawalan LPG yang disyaki disimpan di ladang terbabit telah dijalankan sekitar jam 8.30 pagi pada Selasa.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, ditemui sejumlah tong LPG disimpan di tempat khas di berhampiran kawasan ladang dan seorang lelaki berumur 45 tahun yang mengaku sebagai kerani ladang memaklumkan bahawa gas LPG itu adalah untuk kegunaan ladang bagi proses memanaskan anak ayam.

“Pihak ladang kemudiannya gagal mengemukakan sebarang permit penyimpan barang kawalan apabila diminta pegawai penguat kuasa KPDN,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sehubungan itu, KPDN Perak Cawangan Tapah kemudiannya telah menyita 84 tong yang berisi gas LPG berjenama dan 97 tong kosong berjenama dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM20,334.40.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual (LPG) tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak rekod nilai rampasan RM6.22 juta

KPDN periksa premis jual ikan siakap bakar RM75 di Pulau Pangkor

“Jika disabitkan boleh dikenakan tindakan bagi seseorang, selain dari badan korporat, tetapi tidak termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat, yang melakukan suatu kesalahan terhadap terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Manakala bagi Pertubuhan atau Perbadanan pula, mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.

Kamalludin berkata, siasatan lanjut juga akan dijalankan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG ini kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan.

“Pengusaha ladang juga adalah dinasihatkan agar menggunakan gas LPG komersil dan industri untuk perniagaan dan bukan menggunakan gas LPG bersubsidi kerana gas ini adalah hanya untuk kegunaan isi rumah,” katanya. -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI