KPDN Perak rekod nilai rampasan RM6.22 juta

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas pelbagai barangan dengan nilai berjumlah RM6.22 juta atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2023, setakat ini.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan membabitkan 943 kes itu hasil daripada pemeriksaan ke atas 70,036 premis di seluruh negeri.

Kata beliau, jumlah nilai rampasan itu merekodkan peningkatan sebanyak 203.21 peratus berbanding RM2.05 juta nilai rampasan direkodkan tempoh sama pada tahun lalu.

“Pencapaian ini turut disumbangkan oleh kejayaan Ops Tiris iaitu operasi membenteras penyelewengan diesel bersubsidi.

“Nilai kompoun yang dikenakan tahun ini juga meningkat 55.5 peratus iaitu daripada RM530,300 kepada RM 824,850 bagi tempoh sama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pengguna KPDN Perak, di Bangunan Persekutuan, dekat sini, malam tadi.

Menyentuh tentang inisiatif jualan Rahmah, beliau memberitahu, sebanyak 508 Program Jualan Rahmah telah diadakan dengan berjaya menarik kehadiran hampir 750,000 pengunjung di seluruh negeri setakat ini.

“Manakala sebanyak 186 pengusaha restoran dan kedai makan di Perak telah berdaftar dengan KPDN bagi menyediakan Menu Rahmah di premis mereka.

“Menu Rahmah bukan sekadar satu senarai makanan, tetapi ia mencerminkan komitmen KPDN Perak dalam memastikan pengguna mendapat akses kepada barangan dan makanan berkualiti dengan harga yang berpatutan, ujarnya.

Di samping itu beliau berkata, KPDN Perak juga telah mengadakan 67 program kepengunaan sepanjang tahun ini yang bertujuan memperkukuh kesedaran dan perlindungan terhadap hak-hak pengguna.

Kata beliau, ia dilaksanakan melalui Gerakan Pengguna Negeri (GPN) dan Gerakan Pengguna Daerah (GPN) yang turut membabitkan kerjasama dengan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Kelab Pengguna Sekolah serta Persatuan Belia 4B Negeri Perak.

Pada masa sama, Kamalludin turut menzahirkan penghargaan kepada pihak media atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam setiap inisiatif KPDN Perak sepanjang tahun ini.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap individu dalam industri media yang telah menyokong dengan membuat liputan yang baik terhadap semua inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh KPDN, khususnya KPDN Perak sepanjang tahun ini.

“Keberadaan pihak media adalah satu elemen yang amat penting dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat bagi membolehkan kefahaman yang lebih baik tentang peranan KPDN dalam menjaga kepentingan pengguna dan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pasar mini kantoi sorok gula, minyak masak paket

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI