IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang merangka satu dasar khusus bagi menangani isu kesihatan mental, terutama kes mencederakan diri dan kecenderungan bunuh diri dalam kalangan remaja, susulan peningkatan kebimbangan terhadap masalah berkenaan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, langkah proaktif itu dimulakan menerusi mesyuarat dan perbincangan bersama jabatan serta agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan pencegahan dan intervensi secara menyeluruh.
“Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN Perak), Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN Perak), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta badan kerajaan dan bukan kerajaan yang mempunyai kepentingan dalam menangani isu berkenaan.
“Usaha ini bagi merangka kertas dasar untuk dibentangkan dan mendapatkan kelulusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, supaya wujud punca kuasa mengenai tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut secara serius,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Sivanesan berkata, usaha ini juga dapat memperkasakan peranan guru-guru di sekolah dan tidak semata-mata beban itu dipikul oleh guru psikologi sahaja supaya anak-anak diberi suntikan ilmu bagi menghindari perbuatan tersebut.
“Mulai tahun 2024 sehingga 2026 sebanyak 748 kes Saringan Minda Sihat bagi sekolah menengah di Perak diadakan bagi perkara pemikiran mencederakan diri, kebimbangan (758 kes) serta kemurungan (894 kes)
“Bagi kategori Sekolah Rendah pula dari 2024 sehingga 2026, Saringan Minda Sihat 1 dilaksanakan sebanyak 1,305 dari kalangan pelajar yang menghidap kemurungan manakala 1,297 dari kalangan pelajar yang disyaki menghidap kebimbangan,“ ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan ibu bapa juga penting dalam membendung masalah kesihatan mental daripada terus menular, khususnya ketika anak-anak melalui fasa peralihan daripada zaman kanak-kanak ke alam remaja.
Katanya, pemantauan terhadap tingkah laku dan perubahan sikap anak-anak perlu diberi perhatian kerana ibu bapa merupakan antara pihak paling dekat untuk mengesan tanda awal masalah emosi atau tekanan yang dialami mereka.
“Masalah bunuh diri bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan individu, sebaliknya boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk kemurungan, tekanan emosi, masalah keluarga, buli, konflik hubungan, kesunyian dan masalah sosial.
“Pencegahan awal juga mampu dilakukan sekiranya ibu bapa sedar lebih awal sehingga membawa anak-anak untuk rujukan pegawai perubatan,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak perlu lebih ramai pakar psikiatri susulan peningkatan isu kesihatan mental pelajar


