IPOH – Perak merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM8.87 bilion menerusi 277 projek bagi tempoh Januari hingga September 2026.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, ini sekali gus berpotensi mewujudkan sebanyak 6,089 peluang pekerjaan di negeri ini.
Menurutnya, pelaburan asing turut mencatatkan peningkatan sebanyak 16.8 peratus kepada RM4.65 bilion, merangkumi 52.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negeri berbanding 33.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Sektor pembuatan terus menjadi penyumbang utama dengan nilai pelaburan sebanyak RM5.67 bilion atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan, manakala sektor elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang RM3.20 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Loh berkata, pencapaian ini jelas membuktikan bahawa Perak terus mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi, khususnya dalam sektor pembuatan.
“Dalam hal ini, kawasan-kawasan perindustrian memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta penyumbang kepada kemasukan pelaburan ke negeri ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keyakinan pelabur terus kukuh, Perak rekod RM1.76 bilion pelaburan suku pertama 2026


