PADANG RENGAS – Kejadian tebing runtuh di lot perumahan Changkat Surin di sini telah menimbulkan rasa bimbang terhadap penduduk di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan keadaan tanah semakin terhakis di tebing sepanjang 20 meter itu.
Kawasan itu mempunyai 10 lot tapak perumahan berada hampir dengan kawasan rebakan dengan enam daripadanya telahpun siap dibina rumah.
Penduduk, Mohd Rozaini Yaacob, 47, yang rumahnya hanya lima meter dari tebing berkenaan berkata, hakisan tanah itu mula disedari sekitar Oktober lalu.
Menurutnya, mendapan tanah yang berlaku turut menyebabkan struktur tanah di sekeliling tiang elektrik dan tiang Telekom Malaysia (TM) berisiko untuk tumbang.
“Setahu saya, tanah rebak itu berlaku di laluan utama dan apabila hujan lebat akan terjadi banjir kilat dan membahayakan pengguna jalan raya.
“Tambahan dengan tiang elektrik dan tiang Telekom sudah hampir tunggu masa untuk tumbang,” katanya yang hampir setahun tinggal di kawasan tersebut.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azlan Yazid, 45, turut meluahkan rasa takut dan risau kerana rumahnya juga terletak berhampiran dengan kawasan runtuhan itu.
“Saya memang risau, kerana saya duduk di barisan hadapan dan dari segi tanah rebak memang serius. Masalahnya, sampai sekarang tiada sebarang tindakan diambil dan jika dibiarkan lama-lama ia akan menjadi semakin teruk.
“Di hadapan rumah saya, hakisan tanah mula berlaku dan saya tanam pokok (buluh madu) untuk elak tanah rebak.
“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu bagi membaik pulih struktur tebing berkenaan dengan segera,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, penduduk Wan Abdul Jalil Mustaffa, 57, berkata, tanah rebak itu dipercayai berpunca daripada longkang sedia ada pecah akibat tidak mampu menampung jumlah aliran air yang tinggi.
Menurutnya, bukan setakat perumahan tersebut, longkang berkenaan turut menjadi saluran utama yang mengalirkan sisa dan sampah dari kawasan penempatan dan pusat komersial berhampiran.
“Jadi bila longkang pecah, air pula turun terlalu banyak, itu yang menyebabkan struktur tanah terhakis sebelum berlaku rebakan.
“Sebelum ini pun, penduduk dah berusaha gotong-royong buat kerja pembersihan longkang, tetapi hanya bertahan sekejap, selepas itu longkang ini kembali dipenuhi sampah sarap serta botol minuman,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk Datuk Mhd Yussof Zakaria berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) telah menyatakan komitmen awal bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Malah beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan pertemuan beberapa kali bersama MPKK dan pemaju namun masalah tersebut masih belum diselesaikan.
“Kita juga telah membangkitkan perkara itu kepada Menteri Besar supaya tindakan segera diambil bagi mengelakkan runtuhan lebih serius dan banjir jika berlaku hujan lebat.
“Semalam, Menteri Besar turut memaklumkan bahawa MPKK memerlukan peruntukan RM500,000 untuk kerja membaik pulih longkang dan kawasan persekitaran.
“Selain itu, Menteri Besar telah meminta saya untuk menyerahkan salinan permohonan supaya peruntukan itu disegerakan,” katanya.
Semalam, Saarani turun ke lokasi melihat keadaan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan tersebut.
Menerusi hantaran di Facebooknya semalam, beliau telah mengarahkan jabatan-jabatan yang terlibat untuk mengambil langkah pembaikan dengan kadar segera bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengelakkan timbulnya risiko-risiko lain.
“Kerjasama dan tindakan pantas semua pihak dalam menangani insiden ini amat penting supaya keadaan dapat dikawal dengan sebaiknya,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JKR jalan siasatan kenal pasti punca tanah runtuh Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands