Penduduk Lenggong lega, bas henti-henti kembali beroperasi

LENGGONG – Penduduk di sekitar Lenggong menarik nafas lega apabila perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik kembali beroperasi semula pada hari ini sekali gus  memudahkan pergerakan harian masyarakat setempat.

Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak di Terminal Bas Lenggong mendapati perkhidmatan itu kembali digunakan oleh penduduk membuktikan kepentingan pengangkutan awam dalam menyokong mobiliti masyarakat luar bandar.

Perkhidmatan itu secara tidak langsung membantu warga emas, pelajar sekolah serta golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk menjalankan urusan harian seperti ke tempat kerja, mendapatkan rawatan dan ke sekolah.

Sebelum ini, ketiadaan bas henti-henti sejak awal April menyebabkan ramai penduduk terpaksa mencari pengangkutan awam alternatif lain yang lebih mahal dan membebankan hidup mereka.

Penduduk Lenggong tarik nafas lega, bas henti-henti kembali beroperasi
Nur Asrina Kamaruddin, 19, ketika ditemui sewaktu tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak susulan pengoperasian semula perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik di Terminal Bas Lenggong pada Jumaat. Foto SYAKIR YUSOF, 03 APRIL 2026.

Pengguna, Nur Asrina Kamaruddin, 19, berkata, pengoperasian semula bas itu amat membantu penduduk setempat.

“Bila bas berhenti operasi, memang susah untuk kami bergerak. Sekarang, alhamdulillah bila bas dah beroperasi semula, lebih mudah untuk kami pergi dan balik kerja,” katanya.

Pemandu bas Perak Transit Berhad, Mohamad Rozlan Mohamad Zahari, 49, berkata, ketiadaan perkhidmatan tersebut sebelum ini memberi tekanan kepada pengguna, khususnya pelajar sekolah yang memerlukan pengangkutan harian.

“Saya nampak keadaan itu… selalu tertekanlah kalau bas tidak ada. Budak-budak sekolah pun ramai, jadi mereka tertanya-tanya kenapa bas tidak ada dua hari.

“Budak-budak bila bas ada, mereka sangat suka. Lepas itu mereka tanya lagi, bas ini akan diteruskan ke? Lepas itu saya cakap ya, akan diteruskan. Sebab mereka kata bas susah hendak dapat.

Penduduk Lenggong tarik nafas lega, bas henti-henti kembali beroperasi
Pemandu bas Perak Transit Berhad, Mohamad Rozlan Mohamad Zahari, 49, ketika ditemui sewaktu tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak susulan pengoperasian semula perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik di Terminal Bas Lenggong pada Jumaat. Foto SYAKIR YUSOF, 03 APRIL 2026.

“Kalau naik pengangkutan awam lain agak mahal, mereka tidak mampu hendak bayar tambang,“ jelasnya.

Katanya, bas itu beroperasi bermula seawal jam 6 pagi hingga 7.30 malam dengan perjalanan terakhir menuju ke Kuala Kangsar dan laluan perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam.

Mohamad Rozlan berkata, harga tambang yang ditawarkan turut mengambil kira kebajikan golongan tertentu, termasuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Tambang macam warga emas itu, dia ikut peringkat-peringkat separuh harga. Macam budak sekolah pun lebih kurang separuh harga juga. Dia ikut cara-caranyalah. Macam tambang dewasa, dikira penuh. Kanak-kanak dikira separuh. OKU dan warga emas dikira separuh,” ujarnya.

Penduduk Lenggong tarik nafas lega, bas henti-henti kembali beroperasi
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lenggong, Abdul Harani Harun ketika ditemui sewaktu tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak susulan pengoperasian semula perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik di Terminal Bas Lenggong, pada Jumaat. Foto SYAKIR YUSOF, 03 APRIL 2026.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lenggong, Abdul Harani Harun berkata, pemberhentian perkhidmatan itu sebelum ini telah menjejaskan urusan harian penduduk.

“Sudah tentu urusan harian terganggu, khususnya bagi murid sekolah dan warga yang kurang berkemampuan.

“Kita faham dalam dunia hari ini kebanyakan orang mempunyai kenderaan sendiri, namun masih wujud penduduk yang tiada pengangkutan sendiri, khususnya di kampung-kampung sekitar sini.

“Apabila penduduk dan pengguna membawa isu ini ke peringkat atas, khususnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, beliau telah membantu untuk membolehkan bas beroperasi semula.

Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak mendapati perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang berakhir 31 Mac lalu memulakan semula operasi hari ini di Terminal Bas Lenggong. Foto SYAKIR YUSOF, 03 APRIL 2026.

“Memandangkan perkhidmatan bas ini, walaupun peratusan penggunanya kurang, tetapi ia amat diperlukan oleh murid sekolah, warga emas dan sebilangan kecil pelancong yang menggunakan perkhidmatan ini,” jelasnya.

Katanya, perkhidmatan bas tersebut mula beroperasi sejak tahun 2019 dan menjadi antara pengangkutan penting di kawasan berkenaan.

“Apabila dihentikan begitu, kita faham mungkin kerana kos harian meningkat disebabkan harga bahan api yang tinggi, jadi mereka menghentikannya sementara. Namun, atas keprihatinan Menteri Besar Perak kita, operasi bas telah disambung semula mulai hari ini,” katanya.

Perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik melibatkan laluan 99A, 99B, 99C dan 99D disambung semula dengan pengumuman dibuat menerusi makluman rasmi di laman Facebook Perak Transit Berhad – Bus Services semalam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Campur tangan MB selesai isu bas, operator setuju sambung operasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI