Pengalaman pesara aset berharga bangunkan sektor pertanian, agromakanan – Exco

IPOH – Golongan pesara mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan industri agromakanan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi selaras dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pengalaman luas pesara antaranya dalam bidang pentadbiran, kewangan, pengurusan projek, kejuruteraan, pendidikan dan pemasaran adalah aset yang sangat bernilai.

Menurutnya, ramai pesara mampu menjadi usahawan tani, pengusaha industri makanan, penggerak koperasi, pelabur kecil, sederhana atau besar, mentor kepada usahawan muda dan penasihat kepada projek-projek pembangunan setempat.

“Penglibatan pesara mampu melahirkan lebih ramai usahawan agromakanan yang berjaya, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Pelbagai jabatan dan agensi di bawah saya sendiri, Exco Pertanian, sentiasa bersedia membantu mereka yang berminat melalui pelbagai bentuk latihan, bimbingan, khidmat nasihat, dan juga pembangunan usahawan serta jaringan pemasaran.

“Saya percaya bahawa pengalaman yang digabungkan dengan idea dan inovasi akan mampu melahirkan lebih ramai usahawan agromakanan yang berjaya seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi,“ katanya.

Pengalaman pesara aset berharga bangunkan sektor pertanian, agromakanan – Exco
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika berucap pada Majlis Makan Malam KUPEKMAS sempena Hari Pesara 2026 Peringkat Kebangsaan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) sempena Hari Pesara 2026 Peringkat Kebangsaan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini malam tadi.

Hadir sama, Presiden KUPEKMAS, Datuk Omar Osman.

Mohd Zolkafly berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan golongan pesara melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan mahupun negeri.

“Dalam bentuk kos sara hidup, perubahan demografi dan peningkatan jangka hayat menuntut kita untuk terus memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial serta memperluaskan peluang ekonomi kepada golongan pesara supaya mereka dapat menikmati kehidupan persaraan yang berkualiti dan bermartabat.

“Saya juga mengharapkan agar agensi kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan, institusi kewangan, koperasi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus memperkukuhkan kerjasama dalam menyediakan program untuk pesara.

“Antaranya termasuklah, pembangunan ekonomi pesara, penjagaan kesihatan, kesejahteraan mental, dan aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada golongan pesara,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Karnival Usahawan Veteran ATM bantu pesara, jana pendapatan persatuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI