Penganggur dicekup bersama dadah bernilai RM111,000

IPOH – Seorang penganggur lelaki dicekup pihak polis bersama dadah bernilai RM111,000, di hadapan tempat letak kereta di kawasan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, kira-kira jam 9.25 malam pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak bersama sepasukan polis dari unit Peronda Lebuh Raya (EMPV), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan dijalankan pihak polis di dalam kereta lelaki berusia 40 tahun itu, menemui dadah jenis Heroin dengan anggaran berat 13.18 kilogram (kg).

Mohd Yusri berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, aktiviti pengedaran dadah oleh suspek dipercayai mula aktif sejak awal Januari 2024 sehingga kini.

“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan bagi pasaran tempatan di Perak dan dianggarkan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 15,000 penagih,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujar beliau, pihak polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak telah menyita wang tunai berjumlah RM206.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita berjumlah RM111,206.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 18 Januari sehingga 24 Januari bagi membantu sisatan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis Perak lupus dadah pelbagai jenis bernilai RM2.1 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI