Polis Perak lupus dadah pelbagai jenis bernilai RM2.1 juta

IPOH – Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2.1 juta hasil rampasan dan operasi melibatkan 15 buah daerah dalam negeri ini sejak tahun 2007 hingga kini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semua barang kes dan dadah yang dilupuskan itu membabitkan 3,706 kertas siasatan yang telah selesai perbicaran di mahkamah.

Menurut Azizi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak akan menghantar ke semua barang kes dadah berkenaan kepada syarikat pelupusan sisa pepejal, Kualiti Alam Hijau (M) Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

“Kesemua eksibit ini adalah hasil daripada serbuan dan rampasan yang dilakukan serta telah pun selesai daripada segala prosiding mahkamah.

“Sebanyak 15 buah daerah terlibat dengan pelupusan dadah pada tahun ini iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sg. Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah.

“Antara dadah dilupuskan termasuklah heroin seberat 4.57 kilogram (kg), ganja (7.59 kg), syabu (2.61 kg), ketamin (76.98 gram), yaba, pil khayal, pil eramin 5, daun ketum (529 kg) dan cecair ubat batuk (1.9 liter),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Khamis.

Polis Perak lupus dadah bernilai RM2.1 juta
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris (tengah) melihat sebahagian daripada dadah pelbagai jenis bernilai RM2.1 juta hasil rampasan dan operasi dalam negeri ini sejak tahun 2007 hingga kini yang akan dilupuskan. Foto HAFIZI SAID, 26 OKTOBER 2023.

Sementara itu, Azizi berkata, sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini, JSJN Perak berjaya membuat tangkapan ke atas 10,578 pesalah dadah.

Ujar beliau, seramai seramai 1,891 orang berjaya ditangkap atas berbagai kesalahan mengedar dadah dengan peningkatan sebanyak 23 kes berbanding 1,891 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 559 orang ditangkap di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

“Seramai 76 orang telah ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 dan kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau perancang dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun 2023,” katanya.

Tambah beliau lagi, JSJN Perak juga berjaya membongkar lapan buah makmal haram di seluruh Perak selain turut menahan 21 orang bersabit tangkapan makmal haram berkenaan.

“Bagi tangkapan memiliki dadah pula, seramai 8,611 orang telah ditangkap iaitu peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding dengan 8,084 orang pada tahun 2022.

“Jumlah rampasan dadah bagi kes pengedaran dan memiliki ini telah menghasilkan rampasan berbagai jenis dadah bernilai RM49 Juta.

“Dadah jenis Erimin 5, Heroin dan Syabu merupakan rampasan yang tertinggi untuk negeri Perak pada tahun 2023,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 5,117 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun dengan 4,908 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 96 peratus.

Beliau berkata, bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah tindakan di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988 terhadap kesemua yang ditahan berjaya menghasilkan rampasan berbagai jenis harta benda termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank bernilai RM 7.5 Juta. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Polis gempur 22 sarang penagih dadah pada Op Tapis Khas

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI