Ketua Geng Jiva tumpas, polis selesai 58 kes jenayah

IPOH – Sekurang-kurangnya 58 jenayah kekerasan dan jenayah harta benda di sekitar bandar raya ini berjaya diselesaikan polis selepas tertangkapnya empat individu termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai Geng Jiva.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita itu, berusia antara 26 sehingga 35 tahun, ditahan di sebuah rumah di Taman Syabas, di sini, pada Selasa lalu.

“Dalam serbuan sekitar jam 5.45 petang itu, polis merampas pisau, motosikal dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek.

“Tangkapan oleh Cawangan Siasatan Khas (D9), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu, berjaya menyelesaikan 24 kes jenayah kekerasan dan 34 kes jenayah harta benda yang dilaporkan di sekitar bandar raya Ipoh, khususnya di kawasan Taman Canning, Taman Ipoh Timur dan Bercham,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah pelbagai kesalahan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati tiga termasuk suspek wanita positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya.

Beliau berkata, polis turut memperolehi perintah tahanan reman ke atas semua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, kertas siasatan kes sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, tular mesej di aplikasi WhatsApp mendakwa seorang lelaki bertindak memecah masuk sebuah rumah di Taman Ipoh Selatan antara 5 hingga 6 pagi dan memukul penghuni rumah termasuk warga emas. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Polis Perak lupus dadah pelbagai jenis bernilai RM2.1 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI