Dua Geng Jiva dihadapkan ke mahkamah dengan 10 pertuduhan

IPOH – Dua anggota kumpulan penjenayah Geng Jiva dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis atas 10 pertuduhan melibatkan kes pecah rumah, memiliki senjata berbahaya, rompak, dan mendatangkan kecederaan di sekitar Ipoh antara Jun 2022 hingga Oktober 2023.

Tertuduh K. Gunasegaran, 34 dan K. Kaliswaran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Gunasegaran, yang bekerja sebagai jurupendawaian didakwa dengan 10 pertuduhan, termasuk satu yang didakwa dilakukan bersama Kaliswaran.

Tertuduh didakwa melakukan tiga kes merompak dan tiga kes rompakan berkumpulan selain masing-masing satu kes mendatangkan kecederaan, memiliki senjata berbahaya, pecah rumah dan rompak bersenjata.

Sementara Kaliswaran yang bekerja di premis mencuci kenderaan pula didakwa bersama Gunasegaran melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata tajam, di Regat Mansion, Ipoh, kira-kira jam 10.30 pagi, 18 Oktober lalu.

Berdasarkan kepada kertas pertuduhan, mereka didapati melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata tajam terhadap dua mangsa dan merompak tiga telefon pintar, empat barang kemas serta wang tunai bernilai RM1,000.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Gunasegaran didakwa memiliki senjata bahaya iaitu sebilah pisau di sebuah rumah di Regat Mansion, dekat sini pada jam 10.30 pagi pada 18 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan sebat.

Pada masa sama, tertuduh didakwa melakukan pecah rumah di sebuah rumah di Taman Ipoh Selatan pada antara 9 pagi hingga 5.30 petang, 10 Jun lalu dengan mencuri sebuah jam tangan, sebuah telefon pintar, sebuah kotak sarang burung walit serta wang tunai berjumlah RM 3,060.

Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda, manakala bagi kesalahan mencuri, hukuman penjaranya boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Gunasegaran turut didakwa melakukan rompakan bersenjata dengan sebuah pisau ke atas seorang mangsa dan melarikan telefon bimbit di Taman Mas pada 11.30 malam, 29 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan berdepan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pada prosiding sama, lelaki berkenaan juga didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Nur Syazaizzati Ismail, 22, dan mencuri telefon bimbit dan wang tunai di Jalan Lengkuk Rishah 2, Lebuh Raya Ipoh-Lumut pada pukul 5 pagi, 10 Oktober 2023.

Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Selain itu, Gunasegaran didakwa merompak dua cincin emas dan sebuah telefon pintar milik rakan serumahnya, P.Kalaimutha, 32, di Taman Ipoh Selatan pada jam 6 pagi, 24 Jun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 14 tahun, serta denda atau sebat.

Gunasegaran juga didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Koit Hooi Leng, 72, dengan merompak sebuah telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM1,000 di Taman Kemuncak, pada jam 3 pagi, 31 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, dan denda atau sebat.

Pada prosiding sama, tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 392 dan 392/397 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan rompakan terhadap empat individu di sekitar Ipoh antara 18 Jun 2022 hingga 12 Ogos 2023.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jumlah jaminan minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 Januari depan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ketua Geng Jiva tumpas, polis selesai 58 kes jenayah

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI