Polis gempur 22 sarang penagih dadah pada Op Tapis Khas

IPOH – Polis menggempur 22 sarang penagih dadah di seluruh negeri ini dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang dijalankan pada Selasa hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata hasil operasi selama tiga hari itu, seramai 537 individu dipercayai penagih dadah berusia antara 19 hingga 67 tahun telah ditahan termasuk 12 wanita.

Menurutnya, operasi melibatkan 42 pegawai dan 252 anggota itu turut menemui pelbagai jenis dadah termasuk 213.25 gram heroin, syabu (24.05 gram), ganja (5.53 gram), daun ketum (10 kilogram), cecair ketum (45 liter) dan cecair kodien (0.01) dengan anggaran nilai RM51,813.80.

“Tumpuan operasi pada kali ini melibatkan sarang penagih dadah yang dikenal pasti di kawasan Felda, Felcra, PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin), PPR (Program Perumahan Rakyat), kawasan perumahan, pot-pot kampung nelayan, mobile pot dan pot penagih yang lain.

“Selain rampasan dadah, kita turut menyita tiga buah kereta, sembilan buah motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM143,360,” katanya dalam satu kenyataan pada malam ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan tangkapan itu seramai 49 orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 17 orang bagi kesalahan memiliki dadah, 275 orang penagih telah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 14 orang ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Seramai 22 individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki juga telah ditangkap manakala 17 penagih dadah tegar turut diambil Tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952,” ujarnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI