PUTRAJAYA – Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penguatkuasaan itu selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu adalah menjadi kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada dalam Malaysia.
Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan asing yang tidak mendaftar atau tidak mengaktifkan VEP.
“Kalau mereka (kenderaan persendirian) tiada VEP yang sah dan memasuki Malaysia, mereka akan dikenakan saman iaitu RM300 dan saman itu perlu dibayar sebelum meninggalkan Malaysia.
“Mengapa kita laksanakan 1 Julai ini? Ini kerana masa yang diberikan agak panjang seperti yang kita katakan, kita bermula dengan pendekatan advokasi secara berhemah pada 1 Okt 2024,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengenai kaedah penguatkuasaan, beliau berkata tindakan saman dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia akan dikenakan kepada kenderaan persendirian individu yang tidak mempunyai VEP sah.
Bagi yang melaksanakan pradaftar VEP, pemilik kenderaan persendirian individu akan dikenakan tindakan saman dan wajib membayar saman sebelum keluar dari Malaysia.
“Ada satu lagi kategori iaitu kategori kenderaan persendirian syarikat. Untuk mereka yang tiada VEP sah, kalau mereka langsung tidak ada buat apa-apa pendaftaran, maka saman akan dikeluarkan kepada mereka yang membawa kenderaan persendirian syarikat.
“… tetapi kalau sudah pradaftar, kita masih bagi notis peringatan lagi. Untuk kategori ini, kita masih bagi sedikit kelonggaran sebab kategori ini melibatkan banyak proses. Ia perlu memberikan banyak dokumen syarikat dan sebagainya,” katanya.
Loke berkata operasi penguatkuasaan VEP akan dilaksanakan di luar daripada kawasan pintu masuk bagi mengelakkan kesesakan, manakala bayaran saman boleh dibuat melalui kaedah tanpa tunai di Kaunter Pejabat JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobila atau secara dalam talian (myEG).
Sementara itu, Loke berkata berdasarkan penguatkuasaan fasa pertama, sebanyak 52,012 kenderaan Singapura telah diperiksa secara rawak dan 2,245 atau 4.32 peratus Notis Peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang belum mendaftar VEP.
Sehingga 2 Jun lepas, sebanyak 231,018 Tag Radio Frequency Identification (RFID) telah dikeluarkan untuk kenderaan persendiran individu manakala 2,660 untuk kenderaan persendirian syarikat.
“JPJ menyeru kepada semua pemilik kenderaan motor asing untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
— BERNAMA