IPOH – Pengumuman penghargaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengundang pelbagai reaksi rakyat Perak.
Tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak mendapati, rata-rata rakyat yang ditemui memberi maklum balas positif berhubung beberapa inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan MADANI
Inisiatif tersebut adalah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas, tarikh cuti tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September 2025, serta penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter.
Peniaga, Manimaran Manickam, 45, berkata, pengumuman bantuan oleh Kerajaan MADANI walaupun dilihat kecil, namun mampu memberi kelegaan kepada golongan kurang berkemampuan.
Menurutnya, inisiatif tersebut sedikit sebanyak membantu keluarga miskin dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Bantuan ini nampak sedikit, tetapi cukup besar maknanya kepada golongan susah. Kita harap bantuan seperti ini akan diteruskan,” katanya.
Mengulas mengenai penurunan harga petrol RON95, Manimaran menyambut baik langkah kerajaan yang berusaha menunaikan janji secara berperingkat.
“Penurunan harga petrol walaupun kecil tetapi memberi manfaat kepada semua pihak. Sepertimana Perdana Menteri pernah berjanji untuk menurukan harga minyak sebelum ini, biar lambat asalkan janji ditunaikan,” ujarnya.
Dia yang mewakili suara rakyat Malaysia turut mengharapkan lebih banyak bantuan disalurkan oleh kerajaan Madani pada masa akan datang.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani dan Perdana Menteri kerana sentiasa memikirkan kebajikan rakyat seperti yang dijanjikan sebelum ini,” tambahnya.
Kakitangan swasta, Noor Ainon Mohamed Yusof, 40, pula meluahkan rasa gembira selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri terutamannya bantuan RM100 dan penurunan harga petrol.
“Saya berharap, dengan penurunan harga minyak (RON 95) ini walaupun tidak banyak, saya dapat membantu menstabilkan harga barangan berikutan kos sara hidup kini makin tinggi terutama di kawasan bandar,” ujarnya.
Sementara itu, pengawal keselamatan, Adam Samuel, 40, berkata, bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak membantunya untuk mengurangkan beban kos kehidupan harian.
“Terima kasih kepada PMX. Bantuan RM100 akan digunakan sebaiknya untuk membeli barangan keperluan di rumah,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rakyat Dengar Pengumuman Penghargaan PM