IPOH – Tindakan senarai hitam akan diambil Kerajaan Negeri Perak terhadap peniaga yang menjual atau memindahkan lesen perniagaan bazar Ramadan kepada pihak ketiga.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, secara umumnya, tidak kira sama ada lesen bazar Ramadan atau sebarang lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) ia terikat dengan pihak yang diluluskan untuk menjalankan perniagaan sahaja.
Menurutnya, PBT akan menilai secara spesifik menilai syarat pemohon sebelum memberi kelulusan dan jadi tidak akan berlaku tukar atau jual lesen kepada pihak ketiga.
“Jika ada pihak yang didapati menjual lesen, laporkan kepada kita supaya tindakan dapat dilakukan. Namun pendirian kita tegas, kita tidak benarkan apa-apa tingkah laku untuk jual lesen.
“Kalau didapati bersalah, seperti arahan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita akan tamatkan serta merta dan ikut kepada keadaan kalau ada keperluan untuk blacklist (senarai hitam) pemohon tersebut.
“Bagaimanapun, semakan awal tidak pernah berlaku dan memang tidak berlaku aktiviti tukar atau jual lesen pada tahun 2024 di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak di Pejabat PKR Perak di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Shy Ching memaklumkan, setakat ini PBT masih mengekalkan syarat-syarat sama untuk mendapatkan lesen bazar Ramadan seperti tahun sebelumnya.
“Setakat ini, memang ikut syarat-syarat yang lama cuma tentang isu yang dibangkitkan ini, kalau ada keperluan, kita pastikan semua PBT masuk secara hitam putih (perjanjian) dalam syarat tawaran dan akan pastikan ia diambil kira,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan mengarahkan lesen peniaga yang memindahkan atau menjual lesen yang diperoleh untuk berniaga di bazar Ramdan kepada pihak lain, dibatalkan serta-merta.
Menurutnya, penguatkuasaan yang tegas itu bagi memberi keadilan kepada para peniaga yang benar-benar mahu mencari rezeki untuk meningkatkan taraf hidup keluarga khususnya sepanjang bulan Ramadan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: