Penjawat awam disaran sumbang idea inovasi

IPOH – Penjawat awam disaran untuk sentiasa menyumbang kepada idea-idea baru dalam bentuk inovasi dan kreativiti yang mampu membawa kepada kemajuan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana golongan itu merupakan pemimpin masa hadapan yang akan membawa perubahan dan pemerkasaan sektor awam.

Katanya, beliau yakin komitmen dan kerjasama yang kukuh khususnya dalam soal melahirkan inovasi mampu membina Negeri Perak ke arah lebih makmur dan sejahtera.

Penjawat awam idea inovasi kemajuan pembangunan negeri kreativiti perak saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OKTOBER 2024.

“Jangan takut untuk mencuba, kerana setiap idea yang dicetuskan, walaupun kecil, boleh membawa impak yang besar kepada negeri dan negara.

“Saya sedar, menghasilkan inovasi bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keberanian, ketekunan, dan juga kesanggupan untuk gagal sebelum berjaya.

“Namun, saya yakin Negeri Perak mempunyai banyak bakat yang mampu melahirkan lebih banyak inovasi berkualiti tinggi,” katanya.

Penjawat awam idea inovasi kemajuan pembangunan negeri kreativiti perak saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir pada Majlis Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Negeri Perak 2024 di Hotel Casuarina @ Meru, dekat sini, pada Selasa.

Antara hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Teh Kok Lim.

Pertandingan KIK diadakan bertujuan mengiktiraf penjawat awam yang berjaya memperkenalkan sesuatu idea baharu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menyebarkan hasil inovasi untuk dijadikan rujukan agensi lain.

Dalam pada itu tambah Saarani, kerajaan yang berfungsi tanpa inovasi akan kehilangan keupayaan untuk berkembang dan memenuhi keperluan rakyat dengan baik.

Kata beliau, tanpa inovasi juga, kerajaan tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang pantas dan seterusnya membawa kepada keadaan yang tidak kompetitif dalam menarik pelaburan, pembangunan ekonomi, serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau menambah, sementara di Perak, budaya inovasi yang diterapkan kerajaan negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin subur.

Penjawat awam idea inovasi kemajuan pembangunan negeri kreativiti perak saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OKTOBER 2024.

Saarani berkata, bukan sahaja dari segi penciptaan polisi dan dasar, tetapi juga ia meliptui kepada aspek menonjolkan pendekatan baharu dalam menyelesaikan masalah berkaitan kehidupan rakyat.

“Aspek pendigitalan misalnya, kita sedaya upaya menjadikan sistem penyampaian kita menjadi lebih pantas dan mudah. Sistem aduan kita juga diperkemas agar memudahkan kita melakukan pemantauan.

“Pendekatan Hari Bertemu Pelanggan juga lebih mendekatkan kita dengan orang ramai, sesuatu yang tentunya sangat dihargai oleh segenap lapisan rakyat,” katanya lagi.

Mengulas tentang majlis, Saarani berkata, penyertaan pertandingan KIK pada tahun ini menunjukkan peningkatan kepada 27 kumpulan berbanding 21 kumpulan pada tahun lalu.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan KIK yang meliputi dua kategori iaitu terbuka dan jabatan negeri.

Setiap kategori pula terbahagi kepada lima pecahan anugerah atau bidang iaitu, bidang penyampaian perkhidmatan, sosial, dokumentasi, poster dan hibrid.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan replika cek tempat ketiga Bidang Penyampaian Perkhidmatan (Kategori Terbuka) kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon pada Majlis Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OKTOBER 2024.

Bagi kategori terbuka, kumpulan dari Markas 2 Briged Tentera Darat Malaysia (TDM) merangkul tiga anugerah tempat pertama bagi pertandingan bidang inovasi penyampaian perkhidmatan, sosial, dan dokumentasi terbaik.

Sementara di bawah kategori sama, kumpulan dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diumum sebagai pemenang bagi pertandingan poster terbaik.

Pada masa sama, di bawah kategori terbuka, menyaksikan kumpulan dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangkul tiga anugerah tempat pertama bagi pertandingan bidang inovasi bidang penyampaian perkhidmatan, sosial, serta dokumentasi terbaik.

Di samping itu, kumpulan dari Majlis Perbandaran Manjung turut dinobatkan sebagai pemenang bagi pertandingan bidang hibrid terbaik, dan poster terbaik. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak sedia bantu komersialkan ciptaan pemenang Hari Inovasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI