Perak sedia bantu komersialkan ciptaan pemenang Hari Inovasi

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedia membantu untuk mengkomersialkan ciptaan pemenang Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2023, menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, bagaimanapun semua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan perlu membuat permohonan harta intelek tempatan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Pertama sekali pemenang-pemenang ini perlu memohon untuk patenkan hasil reka cipta masing-masing sebelum kerajaan negeri bantu.

“Kedua mereka perlu melakukan penambahbaikan terhadap hasil reka cipta mereka dan selepas itu barulah kita boleh bantu untuk dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk melantik mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak untuk membantu pemenang yang dapat memenuhi kriteria ditetapkan.

“Selepas mereka patenkan reka cipta serta menambahbaiknya kita (Kerajaan Negeri Perak) akan cari GLC untuk mendaftarkannya bagi diniagakan,” katanya.

Hari Inovasi Perak, Pemenang Saarani 2
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani (enam dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia yang diumumkan sebagai pemenang utama bagi Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) pada majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 NOVEMBER 2023.

Sementara itu, Saarani dalam ucapan beliau berkata, pihaknya yakin hasil ciptaan semua peserta sempena Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri.

Beliau berkata, terdapat ciptaan yang mampu mempermudahkan tugasan di lapangan, memberikan manfaat secara terus kepada pihak pelanggan serta membantu menjana sumber ekonomi yang baharu.

“Segala hasil rekacipta dan inovasi yang dihasilkan oleh anda semua pada hari ini akan memberikan banyak kelebihan dalam memudahkan urusan kerja seharian.

“Malah, ia juga akan menjadi pemangkin untuk kita lebih kreatif dalam menghasilkan produk yang lebih efisien.

“Percayalah, inovasi pada hari ini tidak sekadar menjadi kunci kejayaan kepada sesebuah organisasi, malah mampu memberi lonjakkan atau anjakan paradigma kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negeri dan negara,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia diumumkan sebagai pemenang utama bagi Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) dan membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta piala iringan.

Kemenangan itu diperoleh melalui pasukan Eureka jabatan berkenaan yang menghasilkan projek inovasi teknologi lestari bumi hijau melalui kitar semula sisa kapur karbida bagi penghasilan PCC sebagai bahan pengisi dalam pembuatan cat komersial. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MGPerak: Sedia Bantu Komersialkan Ciptaan Pemenang Hari Inovasi Perak – Saarani

MGPerak: Sedia Bantu Komersialkan Ciptaan Pemenang Hari Inovasi Perak – Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI