Penstrukturan semula PTPTN tidak jejas kelayakan pinjaman perumahan – Zambry

LUMUT – Penstrukturan semula bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan menjejaskan sebarang kelayakan peminjam untuk mendapatkan pinjaman perumahan atau kemudahan kewangan lain.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana pihak kementerian sentiasa mengutamakan konsep keihsanan dengan tidak mahu peminjam PTPN merasakan bahawa proses untuk membayar balik pinjaman itu merupakan tekanan besar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada sidang media Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 JANUARI 2026.

“Tidak (benar penstrukturan semula akan jejaskan peminjam). Ini kerana di pihak kerajaan kita sentiasa menggunakan istilah keihsanan dan itu yang kita kembangkan (dalam sebarang tindakan kita).

“Sebaliknya, yang kita ambil tindakan ini ialah kepada mereka yang langsung tidak pernah membuat sebarang tindakan (membayar semula pinjaman),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung di sini, pada Ahad.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

penstrukturan semula PTPTN tidak jejas pinjaman perumahan bayaran balik PTPTN, kelayakan pinjaman perumahan, kenyataan Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, keihsanan PTPTN, peminjam PTPTN, SSPN, skim simpanan pendidikan nasional
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bergambar pada Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 JANUARI 2026.

Pada program, Zambry menyampaikan sumbangan kelengkapan asas sekolah kepada 900 penerima daripada keseluruhan seramai 1,350 penerima untuk Parlimen Lumut.

Inisiatif daripada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) itu membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM300,000.

Mengulas lanjut Zambry berkata, sifat keihsanan yang diterapkan juga dapat dibuktikan melalui pelaksanaan inisiatif Program Siswa Sulung (SULUNG) yang menaja pengajian percuma kepada penuntut generasi pertama keluarga yang berjaya memasuki universiti.

Pada masa sama beliau memberitahu, pintu PTPTN sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin berbincang dengan pihaknya bagi melakukan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman bagi mengikut kadar kemampuan masing-masing.

“Sebab itu berkali-kali kita sebutkan di peringkat kerajaan bahawa sekiranya mereka mempunyai masalah, mereka boleh datang untuk berbincang dengan pihak PTPTN.

“Ia supaya pinjaman mereka itu (boleh dibayar) mengikut kemampuan dan keadaan mereka pada ketika ini. Namun, masalah berlaku apabila mereka tidak pernah sekalipun datang memaklumkan tentang keadaan mereka,” katanya lagi.

penstrukturan semula PTPTN tidak jejas pinjaman perumahan bayaran balik PTPTN, kelayakan pinjaman perumahan, kenyataan Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, keihsanan PTPTN, peminjam PTPTN, SSPN, skim simpanan pendidikan nasional
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyantuni penerima sumbangan pada Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 JANUARI 2026.

Dalam perkembangan sama Zambry berkata, skim SSPN kini terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah deposit terkumpul RM22 bilion.

Ujar beliau, ia memberi cerminan bahawa berlaku peningkatan kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menabung demi masa depan pendidikan anak-anak.

“Daripada segi jumlah untuk mereka menabung, ia tidak tertakluk kepada satu jumlah besar kerana boleh menabung dengan nilai minimum RM20.

“Jadi, pada setiap bulan atau setiap hari, jika ada wang lebih, mereka boleh menabung pada bila-bila masa (untuk kepentingan pendidikan masa depan),” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PTPTN lancar Bulan Menabung Simpan SSPN 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI