IPOH – Penularan wabak Covid-19 di Perak masih berada dalam keadaan terkawal.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata, bagaimanapun orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya pada musim cuti sekolah ini bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 daripada berlaku.
“Setakat ini kes Covid-19 di Perak masih terkawal kerana jumlah kes sekitar 600 sahaja manakala kes melibatkan kematian sangat rendah dan kita harap status kes boleh kekal setakat itu.
“Selain itu, hospital di seluruh Perak juga sudah berada dalam keadaan bersedia untuk menerima pesakit Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Aspirasi Wartawan Perak yang dianjurkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). Hadir sama, Pengarah PASAK Aldrin Ng.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan meminta supaya orang ramai mengamalkan penjarakkan sosial dan pemakaian pelitup muka bagi memastikan jangkitan wabak itu berada dalam keadaan terkawal.
Beliau juga menyarankan supaya mereka yang bergejala harus kuarantin di rumah dan jika ia semakin serius mereka diminta untuk mendapatkan rawatan doktor dengan segera.
“Orang ramai diminta supaya lebih berjaga-jaga dan jangan pergi ke tempat sesak terutamanya pada cuti perayaan Krismas dan Thaipusam.
“Melalui kawalan kendiri yang dilakukan ini diharap pandemik Covid-19 dapat dikawal,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bagi tempoh 10 hingga 16 Disember lalu sebanyak 20,696 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Covid-19: Kes aktif varian Omicron bergejala ringan – Pakar Perubatan
[…] Penularan Covid-19 di Perak masih terkawal – Exco […]