IPOH – Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak ke tepi sungai manakala tiga cedera dalam kemalangan yang turut membabitkan dua buah kereta di Jalan Perdana Taman Desa Meru, Meru Raya di sini pada Sabtu.
Mangsa maut dikenali sebagai Mohamad Norzaihasmin Zainordin berusia 33 tahun.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.21 tengah hari.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja penyelamatan.
“Sewaktu tiba di lokasi kita mendapati kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Kelisa dan Perodua Myvi serta sebuah motosikal jenis Modenas MR3 yang ditunggang seorang lelaki berusia 33 tahun.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan penunggang motosikal telah tercampak di tepi sungai dan disahkan maut di lokasi oleh petugas perubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
“Kesemua tiga mangsa melibatkan pemandu kereta Perodua Kelisa serta pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi hanya mengalami kecederaan ringan.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) serta mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan memberi rawatan awal kepada mangsa,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa cedera diserahkan kepada ambulan KKM manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi terkawal pada jam 12.45 tengah hari dan tamat sepenuhnya jam 2.44 petang,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: