Penyasaran subsidi diesel: KPDN Perak pantau kenaikan harga

MANJUNG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, tidak memberi tumpuan tertentu dalam menjalankan Ops Kesan 2.0 dalam menghadapi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Pengarahnya, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, sebaliknya seramai 164 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN bersama 74 Pegawai Pemantau Harga telah dikerahkan untuk menjalankan pemantaun di semua premis terlibat.

“Kita telah menggerakkan semua anggota di seluruh Perak untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan di semua lokasi perniagaan di negeri ini.

“Jika berlaku unsur pencatutan maka kita akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030, di Dewan Merdeka, di sini, pada Isnin.

Menurut Kamaluddin, pihaknya telah mengambil data harga barangan bermula 2 Mei bagi memantau jika berlaku peningkatan harga selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan hari ini.

Ujar beliau, sekiranya berlaku peningkatan harga yang luar biasa KPDN Perak akan mengeluarkan notis makluman dan perlu dijawab.

“Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj
perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

“Mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat aduan pada hari pertama pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, Kamaluddin menjawab tiada.

“Saya minta kalau boleh orang ramai salurkan maklumat dengan membuat aduan jika terdapat kenaikan harga tidak munasabah dah kita akan siasat,” katanya.

Pada Ahad, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani bermula tengah malam Isnin.

Susulan itu, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada tengah malam ini di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seleweng diesel: KPDN serbu stor, stesen minyak disyaki subahat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI