GOPENG – Karnival pertanian dwitahunan negeri, Perak Agrofest 2025, menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.6 juta sepanjang penganjuran pada 26 hingga 28 September ini di Ladang Infoternak, Sungai Siput.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, sasaran itu digariskan bagi memperluaskan pasaran hasil pertanian, meningkatkan pendapatan usahawan tani serta menggalakkan aliran ekonomi setempat.
Katanya, karnival tersebut juga diyakini dapat mengukuhkan imej Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai agensi peneraju pemasaran hasil pertanian negara.
“Perak Agrofest 2025 menjadi platform utama untuk memperkukuh jaringan pasaran hasil tani, mempromosikan produk agromakanan tempatan serta memberi peluang kepada usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka.
“Sebanyak 117 usahawan tempatan yang terpilih, melibatkan 127 lot niaga, dengan penyertaan terdiri daripada 40 peratus usahawan wanita, 34.4 peratus usahawan muda, hampir 50 peratus usahawan baru dan selebihnya usahawan bimbingan jabatan atau agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Hebahan dan Promosi Perak Agrofest 2025 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri Perak, Azleena Zainal Abidin.
Mohd Zolkafly memberitahu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadulalkan berkenan merasmikan karnival berkenaan di samping Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad akan menyempurnakan majlis penutup.
Beliau berkata, FAMA Perak menguruskan empat kluster utama iaitu Empayar Makanan, Industri Makanan Asas Tani (IMAT), Florikultur serta Jualan Agro Madani (JAM) @ Pasar Tani Mesra.
Selain itu, terdapat 12 laman pameran yang wajib dikunjungi pengunjung termasuk laman padi, pertanian, inovasi, teknologi dan jentera, Zoo & Night Safari serta Industri Makanan Asas Tani.
Mohd Zolkafly berkata, pelbagai acara menarik menanti pengunjung termasuk pelancaran produk usahawan, aktiviti mewarna kanak-kanak, pertandingan karaoke Orang Asli, demonstrasi masakan, persembahan busking dan banyak lagi.
Kata beliau, salah satu tarikan utama ialah JAM @ Pasar Tani Mesra yang menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus kepada pengunjung selain jualan ‘happy hour’ yang akan diadakan dari semasa ke semasa.
“Pelaksanaan JAM ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi pertanian termasuk Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lain-lain,” ujarnya.
Tambah beliau, Perak Agrofest 2025 turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan kumpulan rock legenda, Search.
“Perak Agrofest 2025 dijangka menjadi acara tumpuan masyarakat Perak serta pengunjung dari dalam dan luar negeri.
“Ia seterusnya memperkukuh imej Perak sebagai hab pertanian berdaya saing di rantau ini serta menyokong aspirasi Agro MADANI dalam menjamin keterjaminan makanan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Beras Cap Gajus Baiduri bakal dijenamakan sebagai Beras Perak Sejahtera