IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengalu-alukan kehadiran pelabur dari negara Asia Timur untuk melabur di negeri ini susulan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, situasi ketidaktentuan geopolitik global itu tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman semata-mata, sebaliknya ia membuka peluang baharu kepada negeri untuk menarik pelaburan asing yang akhirnya memberi impak positif kepada rakyat.
Katanya, pelabur dari negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan China boleh mempertimbangkan Perak sebagai destinasi strategik memandangkan kedudukannya yang selamat serta tidak terkesan secara langsung dengan laluan perdagangan berisiko seperti Selat Hormuz.

“Sebenarnya ramai pelabur berada di sebelah timur dan apabila berlaku pergolakan di Asia Barat, jadi mengapa tidak kita mengajak mereka datang melabur di Malaysia khususnya di Perak.
“Kita telah berbincang perkara ini termasuk dengan wakil dari Korea Selatan yang datang beberapa hari lalu ke Perak, dan kita melihat ada potensi besar untuk menarik pelabur dari negara-negara di wilayah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-13 dan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak di Hotel Impiana, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Yang Dipertua DPPM Perak, Amirudin Tajudin.

Menurut Saarani, golongan peniaga tempatan khususnya peniaga Melayu dan Bumiputera juga perlu bersikap lebih proaktif serta bijak menilai peluang perniagaan dalam suasana ekonomi global yang mencabar ketika ini.
“Orang yang bermotivasi tinggi hanya perlu berhati-hati supaya memilih bidang perniagaan yang betul pada waktu yang betul di tempat yang betul dalam suasana ini.
“Pada masa sama, ini juga adalah peluang untuk kita mencari bidang perniagaan lain yang lebih sesuai dan selamat selain mendapatkan pelabur dari negara yang lebih hampir,” katanya.
Saarani turut menegaskan bahawa, cabaran global juga sering menjadi pencetus kepada inovasi dan kreativiti dalam kalangan peniaga, seperti yang berlaku ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.
Kata beliau, perkembangan ekonomi digital yang pesat pada hari ini adalah hasil adaptasi masyarakat umum terhadap kekangan ketika era pandemik tersebut.
“Ketika era COVID-19, peniaga tidak boleh berniaga seperti biasa, tetapi masih boleh menjual makanan seperti nasi lemak menggunakan platform atas talian seperti menerusi WhatsApp dan Shopee.
“Daripada situ, orang menjadi lebih kreatif dan ini semangat yang perlu diterapkan dalam kalangan ahli DPPM,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani turut menggesa ahli DPPM Perak untuk lebih proaktif dalam meneroka peluang ekonomi di lima nod pembangunan utama yang sedang rancak dilaksanakan di seluruh negeri.
Lima nod tersebut merangkumi Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) di Kinta, Taman Industri Halal Perak (Perak HIP) di Lekir dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.
Beliau memberi contoh pembangunan di AHTV yang bakal menyaksikan pertambahan sehingga 50,000 penduduk, sekali gus membuka ruang pasaran yang luas daripada sektor perumahan sehingga ke perniagaan kecil seperti gerai makanan.
“Apabila puluhan ribu pekerja datang bersama keluarga, kita jangka sekitar 50,000 penduduk baharu akan berada di kawasan itu di Tanjung Malim
“Ini bermakna ribuan rumah, kedai, gerai makanan dan pelbagai perkhidmatan diperlukan, dan di sinilah peluang besar untuk ahli DPPM meneroka perniagaan,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Konflik Asia Barat: Jangan ambil kesempatan naikkan harga bahan binaan – Kor Ming


