Perak anjur program pelancongan warisan dan patriotik pertama di Malaysia

LENGGONG – Perak melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama menganjurkan program pelancongan warisan dan patriotik yang pertama di Malaysia.

Program anjuran Amazing Camp Legacy dengan kerjasama Tourism Perak itu membabitkan jurulatih yang terdiri daripada Veteran Komando VAT 69, pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daerah Lenggong dipilih sebagai lokasi di negeri ini yang sememangnya kaya dengan warisan sejarah dan budaya.

Menurutnya, menerusi penganjuran Program Pelancongan Warisan dan Patriotik Festival Lenggong Perak 2024 itu secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.

“Penganjuran acara ini berupaya mengetengahkan potensi unik Lenggong sebagai destinasi yang menggabungkan pembelajaran sejarah dengan pemupukan semangat patriotisme.

“Ini bukan sekadar meletakkan satu lagi acara di kalendar pelancongan kita, tetapi satu langkah berani dalam mendefinisikan semula erti pelancongan di Malaysia,” katanya.

Perak anjur program pelancongan warisan dan patriotik pertama di Malaysia
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Program Pelancongan Warisan dan Patriotik Festival Lenggong Perak 2024 di Dewan Merdeka, Lenggong.
Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT 69 Komando merangkap Pengasas Amazing Camp Legacy, Datuk Abd Rashid Harun. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OGOS 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di Dewan Merdeka Lenggong, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT 69 Komando merangkap Pengasas Amazing Camp Legacy, Datuk Abd Rashid Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, penganjuran program ini tepat pada masanya sebagai pembuka tirai sambutan bulan kemerdekaan negara malah sangat signifikan  dalam konteks patriotisme dan jati diri bangsa.

“Sebagai acara pembuka kepada sambutan kemerdekaan ke-67, festival ini menyediakan platform untuk menyuntik dan memperkukuhkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru, kita mengambil satu lagi langkah ke hadapan untuk memperkenalkan khazanah ini kepada dunia melalui konsep pelancongan warisan dan patriotisme.

Perak anjur program pelancongan warisan dan patriotik pertama di Malaysia
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir pada majlis perasmian Program Pelancongan Warisan dan Patriotik Festival Lenggong Perak 2024 di Dewan Merdeka, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OGOS 2024.

“Konsep ini menggabungkan dua aspek utama: pemeliharaan warisan budaya dan pemupukan semangat patriotisme.

“Melalui pelancongan berasaskan warisan, kerajaan negeri melalui Tourism Perak menawarkan pelbagai pengalaman dan aktiviti yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan tradisi.

“Ini termasuk melawat tempat bersejarah dan menyokong semua inisiatif pemuliharaan atau restorasi,” jelasnya.

Katanya, festival itu turut disertai golongan belia dari pelbagai institusi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Kolej Komuniti Sungai Siput.

Perak anjur program pelancongan warisan dan patriotik pertama di Malaysia
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar ketika hadir pada majlis perasmian Program Pelancongan Warisan dan Patriotik Festival Lenggong Perak 2024 di Dewan Merdeka, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OGOS 2024.

Tambahnya, antara aktiviti menarik yang telah dirancang termasuk penerokaan tapak arkeologi, bengkel kraftangan tradisional, simulasi ikhtiar hidup, dan pertunjukan kebudayaan.

“Peserta berpeluang merasai pengalaman ikhtiar hidup di hutan seperti ilmu memasang jerat, menghidupkan api, dan memasak. yang menguji kekuatan minda dan fizikal mereka.

“Pengalaman ini pasti akan membentuk perspektif baru mereka tentang nilai sejarah dan semangat cintakan negara, sekaligus menjadi pemangkin kepada inovasi dalam sektor pelancongan pada masa hadapan,”ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak lancar ECODOOR.MY portal agropelancongan pertama di Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI