IPOH – Kerajaan negeri melalui Tourism Perak membelanjakan RM4.61 juta bagi tujuan mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 di setiap daerah, setakat ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, peruntukkan berkenaan juga disalurkan untuk melaksanakan program-program serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur pelancongan.
“Semua projek dan acara ini akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sebahagian acara dianjurkan secara kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
“Antaranya yang terdekat adalah Pesta Durian dan Hari Ladang LMS pada 13 hingga 14 Julai yang dianjurkan oleh Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang dan Selama.
“Turut akan diadakan program Perarakan Komuniti Taiping pada 13 Julai sempena Sambutan 150 Tahun Bandar Taiping, serta Royal Belum Music Festival 2024 pada 12 hingga 14 Julai 2024 di Dewan Dato’ Hasbullah, Gerik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Sze Yee memberitahu berdasarkan Data Perbelanjaan Pelancongan Nasional, kata purata perbelanjaan pelancong yang bermalam di Perak merekodkan pertambahan 14.4 peratus pada tahun 2023 berbanding sebelumnya.
“Walaupun Data Perbelanjaan Pelancongan Negeri masih dalam proses pengumpulan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bayangan tentang potensi pendapatan dan manfaat ekonomi yang dapat diperoleh Negeri Perak boleh diilhamkan dari purata data berkenaan.
“Dengan kehadiran pelancong domestik yang memberangsangkan ke Negeri Perak, diharapkan aktiviti pelancongan akan memberi hasil yang bermakna bagi pertumbuhan ekonomi negeri ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: