Perak belum putuskan kenaikan tarif air – Saarani

TAIPING – Perak belum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan kadar tarif air meskipun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera (SPAN) akan menguatkuasakan pelarasan itu pada 1 Februari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, ini kerana kajian masih dijalankan oleh Lembaga Air Perak (LAP) terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diputuskan dalam Mesyuarat Exco.

“Tarif air memang di bawah kuasa SPAN dan saya percaya keputusan dibuat berasaskan kepada permintaan daripada beberapa negeri sebelum ini.

“Bila SPAN buat keputusan begitu, Negeri Perak tertakluk kepada kajian yang dibuat LAP dan LAP perlulah terlebih dahulu membuat kajian secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Lawatan Kerja Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Exco Kerajaan Negeri Perak ke Projek Jajaran Seksyen 11, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Changkat Jering, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut Saarani berkata, sekiranya LAP berhasrat untuk menaikkan kadar tarif air di Perak, badan berkanun negeri itu perlu membawa cadangan kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah LAP terlebih dahulu.

Ujar beliau, LAP seterusnya perlu membawa cadangan menaikkan kadar taraf air berkenaan kepada Mesyuarat Exco sebelum ia dimuktamadkan.

“Perkara ini tidak tertakluk kepada kita mesti ikut kerana kita bergantung kepada kajian terlebih dahulu untuk melihat kelebihan dan kekurangan.

“Kajian ini masih berjalan kerana ia tidak boleh terhenti setakat satu-satu waktu kerana mengambil kira bilangan pengguna yang bertambah, usia paip, meter dan sebagainya,” katanya.

SPAN pada Rabu dalam satu kenyataan memaklumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan naik secara purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tarif air domestik naik 22 sen setiap meter padu mulai 1 Februari

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI