PASIR SALAK – Kerajaan Perak aedang menyemak bajet (budget screening) bagi menaik taraf daerah Lenggong selepas ia diiktiraf sebagai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (UGGp) baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saraani Mohamad telah meminta Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee untuk memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi tujuan tersebut.
“Kita (Kerajaan Negeri) sedang buat bajet screening sekarang. Saya dah minta Exco Pelancongan untuk bid (membida) peruntukan (kerajaan Persekutuan) bagi memenuhi (keperluan) Lenggong Geopark.
“Walaupun duit kita sikit (dana), kita tetap akan salurkan dan akan minta pada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Warisan@Pasir Salak 2025 di Kompleks Pasar Tani Kekal, Kampung Gajah di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, beliau telah menilai dari segi kehadiran, pendapatan serta keuntungan bagi peniaga di kawasan tersebut semakin meningkat.
“Kalau ada penginapan di situ yang mencukupi, ia jauh lebih baik. Kita hendak ajak MOTAC pergi tengok apa yang kita boleh buat supaya bukan setakat orang datang, ‘touch n go’, tetapi datang menginap di situ,” ujarnya.
Saarani turut mengucapkan rasa syukur dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan cita-cita untuk menjadikan Lenggong Geopark sebagai geotapak ketiga di Malaysia.
“Sebenarnya kita belum mendapat pengisytiharan secara sah sebab ia perlu melalui satu proses lagi selepas menjalani penilaian UGGp pada Julai lalu.
“Jadi akhirnya jawatankuasa penilaian itu telah bersetuju untuk menyatakan bahawa Lenggong Geopark itu boleh diiktiraf dan pengisytiharannya akan dibuat kemudian dalam satu majlis lain yang dijangka akan berlangsung pada tahun hadapan.
“Cuma Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen saya (Lenggong) yang juga Pengerusi Pelancongan beritahu yang sudah almost confirm (hampir pasti). Secara rasmi sahaja belum diisytihar.
“Kita harap dengan pengisytiharan itu, maka Lenggong akan menjadi destinasi pelancongan yang sangat hebat,” jelasnya.
Pengiktirafan Lenggong sebagai UGGp dibuat dalam Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Catolica de Temuco, Araucania, Chile bersempena Mesyuarat ke-10 Majlis UNESCO Global Geoparks pada 7 September lalu.
Penerimaan rasmi itu mengiktiraf Lenggong sebagai sebahagian daripada rangkaian UGGp selepas empat tahun diwartakan sebagai Lenggong Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lenggong catat lonjakan pelancong 280 peratus, tingkat pendapatan komuniti