BATU GAJAH – Kerajaan Negeri Perak sedang giat membangunkan Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 di daerah Perak Tengah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan itu bakal melahirkan lebih ramai belia yang berkemahiran tinggi dalam bidang TVET, seperti kejuruteraan, teknologi, multimedia dan digital.
Katanya, ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan destinasi dan industri pelancongan di negeri ini.
“Dengan pelbagai pembangunan pesat yang sedang berlaku di seluruh Perak, termasuk hab perindustrian baharu di Tanjung Malim, Kerian, Kanthan dan Manjung serta jangkaan peningkatan populasi, kawasan Batu Gajah bakal menjadi lebih rancak dan maju.
“Ini bukan sahaja akan meningkatkan jumlah pengunjung, malah mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan Majlis Pelancaran Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter World: Area 65 di Silverlakes Village Outlet, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Yang DiPertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli serta Ketua Pegawai Eksekutif Wegrow Global Sdn Bhd, Datuk Yong Lam Woei.
Teks ucapan Saarani dibacakan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Dalam pada itu Saarani berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan swasta adalah penting sebagai langkah merancakkan lagi ekonomi pengalaman sebagaimana digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Menurut beliau, sinergi atau usahasama yang terjalin melalui kerjasama itu akan memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat di Perak.
“Kehadiran Dinosaur Encounter World, bersama-sama dengan tarikan pelancongan lain di sekitarnya seperti Galeri dan Rumah Lat, Taman Alam Kinta, Kellie’s Castle, The Treasure @Taman Herba Gopeng, ESCAPE Ipoh dan TT5 Maze Park, bakal menjadikan kawasan ini sebagai hab pelancongan yang unggul di Perak.
“Tidak ketinggalan juga, pelancongan berasaskan kereta api atau ‘rail tourism’ yang boleh diketengahkan memandangkan lokasi Silverlakes Village Outlet yang berhadapan dengan Stesen Kereta Api Batu Gajah.
“Ini melengkapkan lagi kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan, selain eko dan geopelancongan, sejarah dan warisan, serta pengalaman beli-belah,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: