IPOH – Kerajaan Negeri Perak masih memperhalusi dan menjalankan kajian mendalam berhubung cadangan pelaksanaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian berkenaan termasuk menjurus kepada aspek kesihatan awam dan implikasi ekonomi kepada peniaga vape tempatan.
“Saya telah meminta Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan untuk mengambil tindakan perlu terhadap cadangan itu.
“Selain itu saya menerima permintaan daripada persatuan peniaga-peniaga vape ini untuk mengadakan perjumpaan dengan saya, dan ini antara perkara yang kita sedang memperhalusi,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di Pusat Konvensyen Casuarina Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.
Tambah Saarani, bagaimanapun beliau berharap agar kajian menyeluruh berkenaan cadangan pelaksanaan larangan penjualan vape dapat segera dilakukan dan dibawa ke Mesyuarat Exco dalam masa terdekat.
Sebelum ini media melaporkan beberapa negeri termasuk Pulau Pinang sedia mempertimbangkan pelaksanaan larangan penjualan vape, sekiranya penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak membawa kesan positif.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai hak untuk tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga vape.
Untuk rekod, Johor menjadi negeri pertama yang mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.
Sementara Terengganu dan Perlis dilapor akan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape bermula 1 Ogos 2025. – MG Perak
Artikel Berkaitan: