Perak komited bantu permudahkan warga emas guna aplikasi Park@Perak

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sentiasa cakna dan komited bagi membantu warga emas kurang celik teknologi dapat menggunakan aplikasi Park@Perak dengan cara lebih mudah.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, antara bantuan yang boleh diberikan kepada warga emas terbabit adalah menerusi wakil ejen sah yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pengguna aplikasi warga emas terbabit boleh meminta bantuan daripada wakil ejen tersebut untuk menambah nilai (top up) wang di dalam aplikasi berkenaan.

Tambahnya, PBT di seluruh Perak sedang giat memperluaskan bantuan tersebut khususnya ke lokasi pelancongan dan luar bandar yang keperluannya lebih tinggi.

“Memang antara isu yang sering ditimbulkan adalah golongan warga emas yang kurang selesa untuk menggunakan aplikasi ini.

“Justeru, beberapa langkah diambil PBT untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut. Antaranya, mewujudkan pas harian dan pas bulanan yang turut menawarkan diskaun kepada pengguna serta memudahkan golongan warga emas khususnya untuk menggunakan aplikasi itu dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Shy Ching memaklumkan Park@Perak telah berkolaborasi bersama aplikasi Flexi Parking dan aplikasi eWallet TNG.

“Ini bertujuan bagi menarik pengguna luar Perak untuk lebih mengenali seterusnya menggunakan secara terus aplikasi tersebut serta memudahkan urusan pembayaran caj tempat letak kereta kepada pelancong yang datang luar dari negeri Perak atau pun luar negara,” ujarnya.

Katanya, jumlah pengguna aplikasi turut meningkat sehingga mencecah 998,302 orang di seluruh negeri ini pada tahun 2023.

“Park@Perak beroperasi dengan lancar sehingga kini dengan kutipan keseluruhan meningkat daripada RM15,092,323.45 pada tahun 2022 kepada RM24,307,936.30 pada tahun lalu,” jelasnya. – MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Bayaran parkir ke Pulau Pangkor tinggi, Perak cari penyelesaian

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI