IPOH – Penceramah dari luar masih lagi tidak dibenarkan untuk mengajar dan menyampaikan syarahan di mana-mana masjid, surau serta surau diri Jumaat (SDJ) di Perak.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, pelaksanaan perkara itu susulan penambahbaikkan Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar masih lagi sedang diperhalusi.
Kata beliau, walaupun baru-baru ini terdapat beberapa tokoh agamawan luar diberi tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) namun mereka masih juga belum boleh mengajar mahupun menyampaikan syarahan di negeri ini.
“Ia bukan kita sengaja merumitkan, sebaliknya kita mahu memperkemaskan lagi garis panduan berkenaan sebagai usaha melindungi masjid dan surau di Perak daripada sebarang ajaran yang mengelirukan.
“Walaupun ada yang tidak sedar, namun ketika ini pelbagai ajaran yang menyeleweng daripada fahaman Islam sebenar sedang muncul.
“Justeru kita mahu melindungi institusi masjid dan surau kita agar terhindar daripada ajaran-ajaran berkenaan termasuk fahaman Wahabi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada pelancaran Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kolej Antarabangsa TAJ (TIC), di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin pada Isnin.
Pada Ogos lalu, media melaporkan JAIPk mengumumkan penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama dari luar negeri dan negara.
Harith Fadzilah dilaporkan berkata, penangguhan dilakukan membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak sedang membuat penambahbaikan terhadap garis panduan berkenaan sebagai usaha penyusunan semula konsep dakwah agar selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.
Ketetapan itu bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.
Dalam perkembangan lain, Harith Fadzilah memaklumkan, Perak masih lagi membenarkan bacaan doa Qunut Nazilah di semua masjid, surau dan SDJ.
“Kita masih lagi meneruskan bacaan doa Qunut Nazilah selagi mana konflik yang menimpa saudara-mara kita di Genting Gaza masih lagi tidak selesai. Kita teruskan berdoa dan banyakkan berdoa untuk mereka,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel berkaitan:
Penceramah luar Perak masih tidak dibenarkan mengajar, bersyarah di masjid