Penceramah luar Perak masih tidak dibenarkan mengajar, bersyarah di masjid

BAGAN DATUK – Penceramah dari luar Perak masih tidak dibenarkan untuk mengajar atau bersyarah di dalam masjid termasuk surau di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keputusan itu kekal sehingga kini berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Ogos lalu.

Menurutnya, perkara itu akan kekal sehingga garis panduan baharu dijangka akan dibentangkan dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 2 November depan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan.

“Pekeliling sedia ada masih dikekalkan sehingga garis panduan baharu itu dibahaskan dalam Persidangan MAIPk pada 2 November ini.

“Jika garis panduan itu dipersetujui, kita akan persembahkan kepada Sultan Nazrin untuk perkenan baginda dan selepas itu kita akan keluarkan pekeliling baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Perak di Dewan Masjid Tuminah Hamidi di sini pada Ahad.

Menerusi laporan media pada 23 Ogos lalu, JAIPk memaklumkan semua sesi mengajar dan bersyarah oleh penceramah luar negeri Perak termasuk luar negara di semua masjid dan surau berdaftar dengan jabatan agama itu ditangguhkan serta-merta.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu susulan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak sedang membuat penambahbaikan bagi Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau. – MGPerak

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI