Perak perkasa keterjaminan makanan dalam skala besar

LAPORAN ‘The Global Food Security Index 2022’ melalui laman sesawang ‘The Economist Newspaper’, melaporkan Malaysia mempunyai strategi yang mapan dalam menangani isu dan cabaran keterjaminan makanan negara.

Bagaimanapun, laporan berkenaan mendedahkan negara tidak mempunyai agensi atau badan yang khusus untuk menggalas tanggungjawab mengenai hal-hal berkaitan sekuriti makanan.

Justeru itu, bagi mendepani cabaran ini, pihak kerajaan telah mengorak langkah proaktif dengan melaksanakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.

Langkah proaktif yang diambil mengambil kira isu dan cabaran sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

Maka tidak hairan isu keterjaminan makanan mendapat perhatian serius Kerajaan Persekutuan dan negeri termasuklah Kerajaan Negeri Perak yang melancarkan sebuah pelan jangka panjang dikenali sebagai Pelan Perak Sejahtera 2030.

Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan beberapa agenda penting bagi keharmonian setempat dengan salah satunya adalah memperkasakan keterjaminan makanan melalui pengeluaran hasil makanan dalam bidang pertanian dengan skala yang besar.

Perak perkasa keterjaminan makanan dalam skala besar
Salah seorang pekerja JoeJalil Galeria @ RTC Gopeng yang menggunakan kaedah tanaman hidroponik memetik hasil tanaman dan kaedah ini merupakan salah satu jalan terbaik bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan di negara ini terjamin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Bercakap kepada MG Perak, Pensyarah Pertanian, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Dr Masitah Ab. Jalil berkata, isu keterjaminan makanan turut dipandang serius oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut Masitah, baginda Sultan Perak telah bertitah agar sektor pertanian, ternakan dan perikanan dibangunkan dan digiatkan perlaksanaannya dengan memberi suntikan mekanisme baharu dan moden sebagai menyahut cabaran menghadapi ancaman keselamatan bekalan makanan yang semakin kritikal.

“Kerajaan Negeri Perak telah mengambil inisiatif awal dengan membangunkan Perak Agro Valley di Lenggong yang berkonsepkan pertanian integrasi yang melibatkan sektor pertanian dan penternakan.

“Selain itu, projek ladang integrasi bersama rakyat di ladang-ladang milik agensi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) juga telah dilaksanakan untuk penduduk tempatan yang tidak memiliki tanah pertanian sendiri namun berminat menceburi sektor tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Masitah berkata, penglibatan serius Kerajaan Negeri Perak dalam usaha berkaitan keterjaminan makanan melalui Perak Sejahtera 2030 dapat dilihat melalui langkah yang diambil oleh PPPNP.

Ujar beliau antaranya adalah mewujudkan Taman Kekal Penanaman Makanan (TKPM) di Gua Tempurung dan Slim River serta membangunkan Taman Agroteknologi Manong, Kuala Kangsar bersama Jabatan Pertanian Negeri Perak.

“Bagi sektor penternakan, PPPNP memperuntukkan RM10 juta sebagai suntikan bagi anak syarikat Eurofresh Sdn Bhd untuk menjadi pusat pemprosesan dan pembekalan daging import dan tempatan.

“Pada masa yang sama, PPPNP bekerjasama dengan Dusoon Sara Enterprise untuk menjadi pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam kampung, melaksanakan program pengukuhan usahawan dan mengwujudkan program ladang kontrak kepada penternak ayam kampung di Perak,” katanya.

Jeti nelayan Kampung Luat Saarani Mohamad
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melihat Jeti Nelayan Darat Kampung Luat, Lenggong yang dibina bagi kemudahan dan keselesaan nelayan termasuk penduduk setempat.

Beliau berkata, pada masa sama PPPNP juga turut terlibat dalam beberapa program pelaburan sektor akuakultur seperti penternakan ikan tilapia sangkar dan ikan sturgeon serta penternakan dan pengeksportan udang harimau dan hasil laut.

“Sementelahan PPPNP turut memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan USAS bagi menubuhkan sebuah akademi berkaitan keterjaminan makanan dalam usaha memperkukuhkan keterjaminan makanan tempatan melalui penyelidikan dan pembangunan secara berterusan.

“Intihannya, diharapkan dengan menggembleng usaha yang berterusan daripada pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta agensi swasta yang lain, soal keterjaminan makanan negara akan terus terjamin untuk kemaslahatan penduduk Perak dan Malaysia,” katanya.

Justeru itu semua penduduk setempat diseru bersama-sama menyokong usaha semua pihak supaya isu keterjaminan makanan di Malaysia dan Perak secara khususnya dapat ditangani dengan baik dan berkesan, persis kata cendekiawan, ‘sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Jeti nelayan darat Kampung Luat manfaat nelayan, penduduk setempat

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI