Jeti nelayan darat Kampung Luat manfaat nelayan, penduduk setempat

LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak menerusi Jabatan Perikanan Negeri Perak mengambil inisiatif  membina Jeti Nelayan Darat Kampung Luat di sini, untuk kemudahan dan keselesaan nelayan termasuk penduduk di kampung berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jeti bernilai RM258,000 dibina menerusi peruntukan kerajaan itu adalah jeti nelayan darat kedua dibina di Lenggong selepas yang pertama dibina di Kampung Kelantan pada tahun 2022.

Menurutnya, pembinaan jeti ini adalah jalan penyelesaian kepada rintihan masyarakat dan nelayan tempatan yang sering mengadu tiada kemudahan jeti pendaratan ikan yang selesa dan selamat untuk mendaratkan hasil tangkapan serta kemudahan menambat bot-bot mereka.

Jeti nelayan darat Kampung Luat manfaat nelayan, naik taraf sosio-ekonomi penduduk setempat
Jeti Nelayan Darat Kampung Luat yang terletak di Lenggong.

“Jabatan Perikanan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan kemudahan infrastruktur untuk nelayan seperti jeti dan pontoon dapat disediakan untuk memudahkan mereka mencari rezeki.

“Justeru, kita yakin jeti ini akan memberi limpahan manfaat terutamanya bagi Komuniti Nelayan myKP (myKomuniti Perikanan) di kampung ini, selain dapat membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat melalui aktiviti-aktiviti agro pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu merasmikan Program Pelepasan Benih Ikan di Perairan Umum Serentak Seluruh Malaysia 2023 dan Majlis Perasmian Jeti Nelayan Darat Kampung Luat, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Saarani berkata sebanyak 172,500 ekor benih ikan bernilai lebih RM57,310 dilepaskan ke perairan Sungai Perak hari ini bagi menambah stok perikanan dan memperkayakan sumber ikan asli.

Katanya, antara benih ikan itu adalah 15,000 lampam, baung (12,500), terbul (50,000), kerai dan temoleh masing-masing 1,000 selain 93,000 ekor udang galah.

“Pelepasan benih ikan di perairan umum bertujuan memperkayakan dan mengekalkan sumber perikanan di sungai serta memulihara khazanah warisan sungai.

“Jika sungai kita dipulihara dengan baik, ia mampu meningkatkan hasil pendapatan dan nilai sara diri lebih 3,000 orang nelayan darat di negeri Perak,” jelasnya.

Jeti nelayan darat Kampung Luat manfaat nelayan, naik taraf sosio-ekonomi penduduk setempat
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan Program Pelepasan Benih Ikan di Perairan Umum Serentak Seluruh Malaysia 2023 di Lenggong, pagi ini.

Dalam pada itu, beliau berkata program ini mengambil kira masalah pencemaran spesies ikan asing invasif yang dilaporkan sangat membimbangkan kebelakangan ini termasuk peningkatan jumlahnya yang mengancam ekosistem semula jadi perairan sungai termasuk di negeri Perak.

“Antara spesies ikan asing  invasif yang biasa dijumpai di perairan negeri ini adalah ikan placo atau bandaraya, peacock bass, udang kara air tawar dan lain-lain spesies.

“Spesies ikan asing invasif ini mengancam populasi ikan asli kerana bersifat traumategenik, kewilayahan, mudah membiak dan bersifat pemangsa,” katanya. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MGPerak: Pelepasan Benih Ikan Di Perairan Umum Serentak Seluruh Malaysia

MGPerak: Jeti Nelayan Darat Kg Luat, Beri Manfaat Kepada Nelayan Setempat

MGPerak: Pelepasan Benih Ikan Di Perairan Umum Serentak Seluruh Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI