Jeti Kampung Luat tingkat ekonomi nelayan, jadi destinasi pelancongan agro  

KERAJAAN Perak sentiasa komited dalam usaha membantu nelayan darat menambah pendapatan memandangkan kebanyakan mereka tergolong dalam kumpulan B40.

Kemudahan infrastruktur juga adalah salah satu aspek penting dalam memastikan nelayan darat ini dapat bekerja dalam suasana lebih selamat selesa.

Justeru, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Perak mengambil inisiatif membina Jeti Nelayan Darat Kampung Luat, Lenggong di Sungai Perak.

Pembinaan jeti itu secara tidak langsung memberi kemudahan kepada kira-kira 48 nelayan darat termasuk 700 penduduk kampung berkenaan melibatkan kos kira-kira RM258,000.

Selain menjadi tempat pendaratan ikan dan menambat bot jeti ini dilihat berpontensi untuk menjadi destinasi agro pelancongan yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

Melalui program myKomuniti Perikanan (myKP) yang dilaksanakan di bawah Jabatan Perikanan, segala aktiviti pengurusan sumber perikanan termasuk agro pelancongan dapat diatur dengan lebih sistematik di kampung tersebut.

Jeti Kampung Luat tingkat ekonomi nelayan, jadi destinasi pelancongan agro  
Nelayan darat menunjukkan benih ikan yang dilepaskan di Jeti Nelayan Darat Kampung Luat, Lenggong.

Pengerusi myKP Kampung Paya Luat, Ahmad Husaini Mokhtar berkata, sebelum ini jeti tersebut menjadi pangkalan bot tambang untuk kegunaan nelayan darat dan penduduk kampung tersebut.

Menurutnya, pada zaman dahulu Sungai Perak adalah satu-satunya jalan yang boleh digunakan penduduk kampung untuk ke pekan Lenggong.

“Bagaimanapun, selepas jambatan dibina lebih 20 tahun lalu, kaedah pengangkutan menggunakan bot tambang telah diberhentikan dan jeti tersebut hanya digunakan nelayan darat untuk tujuan pendaratan ikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, pembinaan jeti yang lebih selesa turut memberi harapan baharu kepada komuniti nelayan di kampung berkenaan.

“Sebelum ini, jeti yang diperbuat daripada kayu sudah uzur dan tidak selamat digunakan lagi.

“Alhamdulillah dengan adanya jeti baharu ini ia bukan sahaja memudahkan nelayan malah kami dapat membawa pelancong untuk ke lokasi tumpuan sekitar Lenggong sambil menyelusuri Sungai Perak antaranya Lembah Geopark Lenggong,” jelasnya.

Beliau mengucapkan terima kasih khususnya kepada kerajaan negeri, Jabatan Perikanan dan semua agensi berkaitan yang sentiasa menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan darat di kampung berkenaan.

Nelayan darat menunjukkan benih ikan yang dilepaskan di Jeti Nelayan Darat Kampung Luat, Lenggong.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menandatangani plak sempena perasmian Jeti Nelayan Darat Kampung Luat, Lenggong.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Jeti Nelayan Darat Kampung Luat serta Program Pelepasan Benih Ikan di Perairan Umum Pada program itu, beliau merasmikan jeti nelayan darat kedua dibina di Lenggong selepas yang pertama dibina di Kampung Kelantan pada tahun 2022.

Selain itu, sebanyak 172,500 ekor benih ikan bernilai lebih RM57,310 dilepaskan ke perairan Sungai Perak bagi menambah stok perikanan dan memperkayakan sumber ikan asli.

Antara benih ikan itu adalah 15,000 lampam, baung (12,500), terbul (50,000), kerai dan temoleh masing-masing 1,000 selain 93,000 ekor udang galah.

Pelepasan benih ikan di perairan umum bertujuan memperkayakan dan mengekalkan sumber perikanan di sungai serta memulihara khazanah warisan sungai. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI