Perak perketat pelepasan lot Bumiputera, pelihara pemilikan hartanah

IPOH – Kerajaan Perak memperketatkan mekanisme pelepasan lot kuota Bumiputera bagi mengelakkan sebarang manipulasi selain memastikan pemilikan hartanah dalam kalangan golongan berkenaan terus dipelihara.

Langkah itu dilaksanakan selari dengan pengenalan Booklet Hartanah Bumiputera Negeri Perak yang akan dijadikan rujukan rasmi yang menghimpunkan maklumat berkaitan prosedur, syarat, tatacara dan aliran permohonan perumahan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penguatkuasaan itu diambil susulan pengalaman lalu yang menunjukkan terdapat ruang untuk mekanisme pelepasan lot Bumiputera dimanipulasi oleh pemaju.

Menurut beliau, meskipun syarat pelepasan diperketatkan, kerajaan negeri pada masa sama telah menyemak semula kadar kuota Bumiputera mengikut kesesuaian sesuatu kawasan.

“Dulu kita tetapkan kuota 30 peratus secara menyeluruh, tetapi kini ada kawasan yang hanya dikenakan kuota 10 peratus.

“Apabila kuota dikurangkan, pemaju tidak lagi perlu menyediakan lebih banyak rumah di bawah kuota Bumiputera. Sebagai timbal balas, mereka perlu mematuhi syarat pelepasan yang lebih jelas dan adil kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) serta pembeli,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media pada Majlis Perasmian Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kerajaan negeri turut mengubah kaedah penetapan kuota Bumiputera dengan menggunakan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menggantikan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang digunakan sebelum ini.

Katanya, penggunaan data SPR sebelum ini tidak menggambarkan komposisi penduduk sebenar kerana ia hanya berdasarkan lokasi pengundian, sekali gus menyebabkan ada kawasan ditetapkan kuota Bumiputera sifar peratus.

“Contohnya seseorang tinggal di Ipoh tetapi mengundi di Lenggong namun dalam data SPR seolah-olah tiada orang Melayu di kawasan itu walhal mereka memang menetap di situ.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika gimik perasmian Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 JULAI 2026.

“Sebab itu kita gunakan data DOSM yang dibuat secara bancian dari rumah ke rumah kerana ia jauh lebih tepat dan menggambarkan demografi sebenar penduduk,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pendekatan baharu itu, kuota lot Bumiputera ditetapkan antara minimum 10 peratus hingga maksimum 50 peratus mengikut komposisi penduduk di sesuatu kawasan.

Menurut Saarani, pendekatan itu bukan sahaja lebih adil kepada pembeli Bumiputera, malah mengambil kira realiti pasaran supaya pemaju tidak menanggung kerugian akibat menyediakan unit yang sukar dijual.

Katanya, penetapan kuota baharu itu turut diputuskan selepas perbincangan bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yang turut menganggotai Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI