IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan hampir RM1 juta bagi inisiatif bantuan Geran Usahawan Perak Sejahtera atau GeRAK bagi tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, usaha yang digerakkan sejak tahun lalu itu disasar memberi manfaat kepada 600 usahawan kecil di negeri ini.
“Antara kriteria pemohon adalah mereka perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM) serta mengikuti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selaku badan pelaksana.
“Ini penting bagi kita mengumpul data pemohon agar kita dapat melihat kepada keperluan-keperluan penyaluran bantuan kepada mereka.
“Permohonan ini terbuka kepada semua jenis perniagaan dan penjaja kecil yang mana setiap permohonan akan menerima geran ‘one-off’ atau sekali beri sehingga RM2,000 bagi kos pembelian peralatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Geran Usahawan Perak Sejahtera 2024 atau GeRAK di Restoran Miker Signature, Jalan Sultan Nazrin Shah, dekat sini.
Inisiatif yang melibatkan kerjasama dengan 23 agensi usahawan itu diadakan bertujuan untuk membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Perak.
Ia melibatkan usaha meningkatkan kapasiti, keupayaan pengeluaran, produktiviti, sistem, pemasaran, jenama dan pembungkusan usahawan terlibat ke tahap yang lebih berkualiti.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, seramai 700 usahawan kecil di Perak telah menerima manfaat melalui GeRAK pada tahun lalu.
“Kita mendapat respon yang sangat baik daripada penerima kerana bagi penjaja kecil, nilai bantuan RM2,000 itu amat membantu mereka dalam membeli sebarang pelaratan besar.
“Disebabkan itu, melalui usaha ini kita mahu menyalurkan bantuan kerajaan negeri ini kepada mereka yang benar-benar memanfaatkannya,” katanya lagi.
Permohonan Geran GeRAK mula dibuka selama sebulan bermula 5 April (Jumaat) yang mana antara syarat lainnya adalah perniagaan perlu beroperasi di Perak serta jumlah nilai jualan tidak melebihi RM500,000 setahun atau pekerja kurang daripada lima orang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Pembentangan Belanjawan Perak 2024 Disember lalu mengumumkan peruntkan sebanyak RM1.3 juta kepada STeP sebagai usaha menyokong pembangunan usahawan yang antara lain melibatkan inisiatif geran GeRAK. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2024: RM1.3 juta untuk STeP sokong usahawan