IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM1.5 juta untuk Geran Usahawan Perak Sejahtera atau GeRAK bagi membantu sektor usahawan kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, melalui peruntukan itu, GeRAK disasar akan memberi manfaat kepada 750 usahawan PMKS di negeri ini.
Katanya, setiap penerima layak mendapat bantuan bernilai RM2,000 bagi menyokong perusahaan mereka dalam pelbagai bidang seperti pembuatan atau perkhidmatan.
“Permohonan GeRAK akan dibuka pada 7 April nanti (dan akan ditutup pada 31 Mei), dan saya meminta agar semua usahawan dapat mengikuti perkembangan ini melalui laman Facebook Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
“Jika tidak dikhuatiri para usahawan ini akan terlepas daripada menerima sebarang maklumat berkenaan inisatif yang ditawarkan kerajaan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran GeRAK 2025 di Miker Signature, Bazaar Ipoh, dekat sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.
Menurut Salbiah, bantuan sekali beri itu disalurkan sebagai usaha kerajaan negeri meningkatkan keupayaan dan produktiviti perniagaan yang diusahakan.
Jelas beliau, bantuan geran yang diberi berbentuk peralatan dan mesin termasuk bantuan bagi menjalani kursus, latihan dan peningkatan aspek pemasaran dan penjenamaan.
Selain itu Salbiah berkata, terdapat beberapa syarat asas yang digariskan bagi permohonan geran yang dibuat secara atas talian itu.
Kata beliau antaranya, wajib mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat (SSM), beroperasi di Perak, mempunyai pendapatan tahunan 2024 tidak melebihi RM150,000 dan berdaftar dengan Sistem Maklumat Usahawan Perak.
Tambah Salbiah, peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri bagi insiatif GeRAK pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu yang melibatkan dana sebanyak hampir RM1 juta.
“Pada tahun 2023, seramai 771 usahawan mikro Perak telah mendapat manfaat, manakala pada tahun 2024 pula seramai 713 penerima telah mendapat manfaat melalui pelaksanaan geran ini.
“Melalui bantuan GeRAK pada tahun 2023, 89 peratus usahawan telah berjaya meningkatkan pendapatan dan produktiviti perniagaan mereka.
“Ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan negeri. Pelaksanaan GeRAK ini juga merupakan salah satu inisiatif dalam menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: