PERAK muncul antara empat negeri yang merekodkan kadar pertumbuhan ekonomi melebihi paras nasional pada tahun lalu apabila ekonomi negeri berkembang sebanyak 5.7 peratus berbanding pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.
Berdasarkan Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai ekonomi Perak meningkat kepada RM91.5 bilion pada 2025 berbanding RM86.6 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu meletakkan Perak sebaris dengan Johor, Pulau Pinang dan Selangor yang turut berada di landasan sama.
Kadar pertumbuhan 5.7 peratus itu adalah yang tertinggi direkodkan Perak bagi tempoh sedekad, didorong oleh prestasi cemerlang sektor pembuatan, khususnya industri peralatan pengangkutan dan automotif.
Sektor pembuatan menjadi penyumbang utama apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 15.2 peratus, meningkat ketara berbanding 5.1 peratus pada 2024.
Prestasi tersebut disokong oleh perkembangan kukuh dalam subsektor kelengkapan pengangkutan, pembuatan lain serta aktiviti pembaikan.
Dalam pada itu, sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan 8.1 peratus hasil peningkatan aktiviti pembinaan khusus dan kejuruteraan awam manakala sektor perkhidmatan berkembang 3.4 peratus menerusi peningkatan aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta perkhidmatan kerajaan.
Seterusnya, ektor pertanian menyumbang 13.6 peratus kepada ekonomi negeri berkembang 1.2 peratus, dipacu prestasi lebih baik dalam subsektor tanaman dan ternakan.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, lonjakan sektor pembuatan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi Perak sehingga berjaya mengatasi purata kebangsaan.
Katanya, pelaburan dalam taman perindustrian strategik seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim dan Bandar Perindustrian Lumut (LuMIC) telah meningkatkan hasil pengeluaran pembuatan telah memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai destinasi pelaburan.
“Perak kini menyaksikan peralihan kepada subsektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), automotif maju, peralatan pengangkutan, pembinaan kapal serta pembuatan logam berfabrikasi yang menyumbang kepada pertumbuhan lebih mampan.
“Pada masa sama, pelaburan asing dan domestik yang diluluskan berjumlah RM15.75 bilion membabitkan 560 projek turut merangsang pertumbuhan ekonomi, selain mempercepat pembangunan infrastruktur di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette Perak hari ini.
Menurut Profesor Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) itu, prestasi memberangsangkan sektor pelancongan dan perkhidmatan turut memberi limpahan positif kepada industri perhotelan, peruncitan, makanan serta pengangkutan.
Tambahnya, perkembangan ekonomi digital dan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur di bawah agenda Perak Sejahtera 2030 juga menjadi antara faktor yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Gabungan sektor pembuatan yang kukuh, peningkatan pelaburan, pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembangunan ekonomi digital memberikan asas yang kukuh untuk Perak mengekalkan momentum pertumbuhan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, prestasi yang ditunjukkan Perak membuktikan bahawa kekuatan ekonomi sesebuah negeri tidak semestinya bergantung kepada pelabuhan utama atau lapangan terbang antarabangsa.
Beliau berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada prestasi tersebut antaranya termasuk kedudukan Perak yang strategik di Koridor Pantai Barat.
“Walaupun tidak mempunyai pelabuhan antarabangsa yang sibuk seperti Pulau Pinang atau Johor, Perak mendapat limpahan aktiviti ekonomi daripada negeri-negeri berjiran melalui rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan, jalan persekutuan dan landasan kereta api.
“Ini menunjukkan bahawa kecekapan rangkaian logistik lebih penting daripada memiliki pelabuhan sendiri.
“Selain itu, kos menjalankan perniagaan yang lebih kompetitif dilihat antara penyumbang kepada peningkatan ekonomi di negeri ini.
“Harga tanah industri, kos operasi dan kos tenaga kerja yang relatif lebih rendah menjadi tarikan kepada pelabur untuk mengembangkan operasi di Perak, khususnya dalam sektor pembuatan dan logistik.
“Peningkatan pelaburan domestik dan swasta turut menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Perak apabila bukan sahaja disokong oleh eksport, malah didorong oleh pelaburan syarikat tempatan, aktiviti pembinaan, penggunaan domestik serta perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” jelasnya.
Dr Barjoyai berkata, kesimpulannya, pencapaian Perak membuktikan bahawa dalam ekonomi moden, daya saing sesebuah negeri lebih banyak ditentukan oleh produktiviti, kepelbagaian ekonomi, kos yang kompetitif, modal insan dan kualiti infrastruktur pengangkutan berbanding hanya memiliki pelabuhan atau lapangan terbang antarabangsa.
Tambahnya, jika faktor-faktor tersebut terus diperkukuhkan, Perak berpotensi mengekalkan momentum pertumbuhan yang mampan pada tahun-tahun akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KDNK Perak rekod RM86.2 bilion, sektor pembuatan penyumbang utama


