Perak saran GLC wujudkan TASKA di bangunan masing-masing

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyarankan agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, secara dasarnya kerajaan negeri bersetuju terhadap perkara itu kerana ia dilihat mampu meringankan bebanan ibu bapa.

Katanya, setiap GLC wajar membangunkan sebuah TASKA di bangunan masing-masing sebagaimana yang diwujudkan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Kerajaan negeri GLC Perak TASKA saarani bangunan pejabat ibu bapa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada sesi ‘Townhall’ bersama Wanita Perak di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JULAI 2024.

“Setiap GLC seperti Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) mempunyai ramai kakitangan wanita.

“Oleh itu kita minta untuk mereka adakan TASKA masing-masing secara baik dan mengikut peraturan-peraturan yang digariskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Program ‘Townhall’ atau Dialog Awam Wanita Perak di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed, serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Terdahulu ketika sesi dialog, Saarani diajukan cadangan untuk mewujudkan TASKA di semua premis khususnya pejabat kerajaan sebagai usaha meringankan beban ibu bapa yang bekerja.

Selain itu Saarani menjelaskan, kewujudan TASKA di bangunan atau kawasan yang sama dengan pejabat mampu membantu meningkatkan lagi tahap produktiviti golongan itu.

Kerajaan negeri GLC Perak TASKA saarani bangunan pejabat ibu bapa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed bergambar kenangan pada Program ‘Townhall’ Wanita Perak di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JULAI 2024.

“Apabila ada TASKA di pejabat, maka khususnya golongan ibu akan dapat memberi perhatian kepada pekerjaan harian dengan baik.

“Ia berbeza jika ditempatkan anak ke tempat lain, maka mereka akan sering memikirkan keselamatan anak, dan seterusnya tidak mampu beri perhatian kepada kerja sepenuhnya,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Saarani memberitahu sebuah pusat pembangunan dan pemerkasaan wanita Perak akan diwujudkan di Taman Lapangan SSI.

“Sebelum ini sebuah rumah di taman perumahan berkenaan pernah beroperasi sebagai pusat kebajikan badan bukan kerajaan (NGO).

“Rumah yang kini terbiar itu akan kita lakukan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih agar pusat pembangunan wanita itu dapat beroperasi secepat mungkin,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Peka keselamatan kanak-kanak, elak jadi mangsa jenayah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI