- LUMUT – Kerajaan Negeri Perak bersedia untuk menjadi pemudah cara bagi mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membangunkan pusat dialisis yang menyediakan perkhidmatan secara percuma.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana usaha murni seumpama itu dilihat mampu memberi peluang semua pesakit buah pinggang yang berada dalam kelompok kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan.
“Ada yang memerlukan insentif dari segi bentuk kewangan, dan ada juga yang memerlukan bantuan daripada sudut tanah.
“Sudah semestinya kerajaan negeri akan melihat keperluan yang dipohon. Ia membolehkan kerajaan turut sama memberi sumbangan dan mengambil bahagian dalam usaha NGO berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pertubuhan Perkhidmatan Dialisis Amal (PPDA) Sitiawan, dekat sini, pada Isnin.
Pertubuhan yang dipengerusikan Datuk Koh King Ong itu menyediakan perkhidmatan rawatan dialisis secara percuma kepada semua masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Dalam pada itu, Saarani memberitahu, ketika ini terdapat 93 pusat dialisis yang beroperasi di seluruh Perak dengan 17 dimiliki kerajaan, 60 dikendalikan pihak swasta makala bakinya diuruskan NGO dan Angkatan Tentera.
Jelas beliau, antara usaha kerajaan negeri bagi memastikan pesakit buah dalam golongan kurang berkemampuan turut berpeluang menerima rawatan adalah melalui dana zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Di samping itu, Saarani berkata, kerajaan negeri komited dalam memastikan negeri mempunyai kemudahan rawatan dialisis yang mencukupi dan mudah diakses oleh pesakit buah pinggang di setiap daerah.
“Bagi memastikan ia terlaksana, pelbagai program membabitkan kerjasama strategik awam-swasta giat dijalankan bagi menambah baik liputan perkhidmatan dialisis, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri melalui pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 dalam memastikan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menzahirkan sumbangan dan peranan yang dimainkan PPDA Sitiawan dalam meningkatkan akses kepada rawatan penyakit berkenaan di negeri ini.
“Saya dimaklumkan pusat dialisis ini dilengkapi 18 kerusi, termasuk dua kerusi khas untuk pesakit yang menghidap Hepatitis B dan Hepatitis C.
“Ia menawarkan tiga syif rawatan setiap hari yang akan memanfaatkan seramai 108 orang pesakit buah pinggang dengan kos operasi tahunan dianggarkan mencecah RM2 juta,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: