Perak sedia kaji untuk turunkan duti hiburan

IPOH – Kerajaan Perak bersedia mempertimbangkan bagi menurunkan duti hiburan sebagaimana yang disyorkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024, pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, perkara itu akan dikaji dan diperhalusi menerusi Mesyuarat Exco atau Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) nanti.

Katanya kajian itu juga akan melihat dari sudut kesan terhadap pasca pelaksanaannya agar ia dapat mewujudkan situasi menang-menang antara kerajaan negeri dengan pihak yang terlibat seperti penggiat seni, pelancongan, dan sebagainya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 OKTOBER 2023

“Jika kesan daripada pelaksanaanya itu akan mengurangkan pendapatan negeri hasil daripada duti hiburan itu, tetapi ia memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang terlibat, maka kita boleh mempertimbangkannya.

“Namun, jika kita berkeras mahukan juga duti hiburan itu sehingga memberi kesan kepada industri berkaitan seperti sektor pelancongan, maka mengapa kita hendak teruskan? Oleh sebab itu, kita akan membuat kajian terlebih dahulu dalam Mesyuarat Exco untuk melihat kesannya sama ada siapa yang untung, atau rugi.

“Akan tetapi, lebih elok kalau semua mendapat keuntungan (daripada pelaksanaanya). Kerajaan negeri untung, pada masa sama mereka yang terlibat juga akan turut meraih keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri, Nor Azah Ahmad Dahalan.

Saarani sebelum itu diminta mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyarankan agar kerajaan-kerajaan negeri untuk menurunkan duti hiburan sebagai langkah membantu merancakkan lagi industri kreatif tempatan pada Jumaat.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Anwar berkata kerajaan bersetuju untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu sebagai mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan.

Dalam pada itu Saarani berkata pihaknya juga akan meneliti perkara tersebut dengan lebih lanjut bagi dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2024 yang dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat.

“Kita akan memperhalusi perkara itu bagi melihat kesan dan keperluan untuk dimasukkan dalam ucapan Belanjawan Negeri 2024 nanti,” ujar beliau. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI