Perak Sejahtera 2030: Saarani umum tiga agenda baru

LUMUT – Kerajaan Negeri Perak memperkenalkan penambahan tiga agenda baharu kepada Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, agenda berkenaan adalah Pembangunan sosial, Kelestarian alam dan biodiversiti serta pemerkasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, penambahan agenda kepada pelan pembangunan negeri itu susulan program Permukiman Pemimpin-pemimpin Kerajaan yang dijalankan dua hari bermula 15 Mei lalu.

“Sejak awal saya sebutkan, Pelan Perak Sejahtera 2030 bukan pelan yang jumud dan ‘rigid’ (atau tidak dapat diubah).

“Sebaliknya, pelan berkenaan boleh diubah (dan ada penambahan) yang berasaskan kepada keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, dekat sini, pada Isnin.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Tambah Saarani, penambahan tiga agenda baru kepada pelan berkenaan juga membuktikan ia merupakan pelan yang bersifat dinamik.

“Maka kita putuskan bahawa enam agenda sedia ada kepada Pelan Perak Sejahtera 2030 itu tidak mencukupi, justeru kita tambah tiga agenda baru.

“Dan kita juga masih terus menerus menerima cadangan-cadangan baik daripada rakyat Negeri Perak (terhadap penambahbaikan pelan berkenaan),” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, dengan sembilan agenda keseluruhan, ia dilihat mampu merealisasikan sasaran Pelan Perak Sejahtera 2030 yang meliputi Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial serta Sejahtera Politik.

Bertemakan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, sebelum ini Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan enam agenda utama.

Ia meliputi, Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Koridor TVET, Perlombongan Bertanggungjawab, Pembuatan Keputusan Dipacu Data, serta Tabir urus Projek Berkepentingan Negeri.

Pelan Perak Sejahtera 2030 dilancarkan Saarani pada 15 Jun 2022 sebagai garis panduan bagi pembentukan dasar, inisiatif dan agenda utama negeri bagi tahun 2022 hingga 2030. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Tiga agenda baharu Pelan Perak Sejahtera 2030 ditambah – Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI