IPOH – Kerajaan Negeri Perak secara umum telah bersetuju mewartakan tanah seluas 79.74 hektar di Gerik bagi cadangan tapak penubuhan Santuari Gajah Perak.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, lokasi cadangan tapak berkenaan terletak di batu 11 Jalan Raya Timur Barat Gerik, berhampiran Tugu Peringatan Pembinaan Jalan Raya Timur Barat.
Katanya, penubuhan santuari yang akan diuruskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu akan membabitkan pembangunan infrastruktur di kawasan seluas 10 hektar.
Jelas beliau, ia akan melibatkan pejabat, kuarters, bilik interaktif, kandang gajah serta lain-lain kemudahan.
“Konsep utama pembangunan santuari ini adalah konservasi gajah dan ekopelancongan bertemakan gajah. Buat masa kini, PERHILITAN telah melantik perunding bagi memberi cadangan pembangunan.
“Beberapa bengkel dan mesyuarat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilakukan bagi membincangkan pelaksanaannya yang dijangka dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu.
Pada 18 Julai 2020, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan membina sebuah Santuari Gajah Perak berhampiran Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Gerik.
Projek yang menelan kos kira-kira RM40 juta itu adalah usaha berterusan memulihara haiwan liar itu, sekali gus menangani konflik antara gajah dan manusia.
Dalam perkembangan sama Kok Lim berkata, PERHILITAN Perak menerima 3,176 aduan serta membabitkan kerugian RM1.53 juta akibat konflik hidupan liar setakat Oktober tahun ini.
Kata beliau daripada jumlah itu, 2,282 aduan melibatkan kera, gajah liar (333), harimau belang (112), babi hutan (161), harimau dahan (13), beruang (enam) dan lain-lain spesies (211).
“Bagi tahun ini, sebanyak 13 operasi translokasi gajah liar telah dilakukan oleh pihak PERHILITAN Perak.
“Antara lokasi yang terlibat adalah di Kampung Chepor, di Lenggong; Kampung Felda Bersia, Kampung Umbot, Tanjung Rimbun, di Gerik; Felda Lasah, Kampung Lintang, serta Kampung Perwor di Sungai Siput.
“Secara kumulatif, sebanyak 33 ekor gajah liar telah berjaya ditangkap dan dipindahkan pada sepanjang tahun ini,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: