GERIK – 14 individu yang menaiki empat kereta berasingan berdepan detik cemas selepas diserang sekumpulan gajah liar di kilometer (km) 11, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli–Gerik, dekat sini, pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11 malam.
Katanya, hasil maklumat mendapati kejadian melibatkan empat kereta masing-masing jenis Perodua Alza, Toyota Innova, Honda Jazz dan Proton Persona itu berlaku pada hari sama, sekitar jam 9.15 malam.
“Kejadian itu melibatkan mangsa yang berusia antara 22 tahun sehingga 55 tahun. Hasil siasatan lanjut, kesemua kenderaan yang terlibat dalam perjalanan dari arah Jeli, Kelantan ke Gerik.
“Setibanya di lokasi kejadian mereka telah ternampak sekumpulan gajah yang tidak pasti jumlahnya berada di atas jalan raya. Kemudian, kesemua pemandu telah memberhentikan kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Tambah beliau, tidak lama kemudian kumpulan gajah berkenaan mula beredar dari lokasi namun sebahagian daripada haiwan liar itu mula menghampiri empat kereta terbabit.
Kata beliau, kumpulan gajah itu seterusnya merosakkan kenderaan-kenderaan itu dengan catra menggesel serta menghempap.
“Kesemua individu tidak dapat mengenal pasti jumlah gajah terbabit kerana ketika kejadian, keadaan persekitaran gelap. Selepas (serangan) itu, gajah-gajah tersebut beredar menuju ke hutan berdekatan.
“Akibat daripada kejadian tersebut, kesemua kenderaan telah mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, belakang, sisi kanan dan kiri,” katanya lagi.
Ujar Zulkafli lagi, walau bagaimanapun, kesemua pemandu dan penumpang kenderaan yang terlibat tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Jelas beliau, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga telah dimaklumkan tentang kejadian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Justeru itu, beliau menasihatkan agar pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati ketika memandu dengan menggunakan JRTB kerana dikhuatiri terdapat hidupan liar yang melintas serta berada di jalan raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: