PARIT – Sebanyak 12 ekor lembu sumbangan kerajaan negeri dan agensi berjaya dikorbankan sempena Aidiladha di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja.
ADUN Belanja, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, ke semua lembu diberikan kepada kawasan yang belum pernah menerima sumbangan berkenaan sebelum ini.
“Pihak kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah menyumbang enam ekor lembu kepada setiap ADUN dan tambahan seekor kepada Exco menjadikan jumlah di DUN Belanja tujuh ekor.
“Selain itu, DUN ini juga menerima tajaan dan sumbangan daripada agensi-agensi kerajaan menjadikan jumlah haiwan korban kali ini kepada 12 ekor dan disumbangkan kepada masjid, surau dan komuniti.

“Alhamdulillah 12 ekor haiwan berkenaan berkenaan telah selesai menjalani ibadah korban dengan jayanya dan tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Surau Ar-Rahim Seri Iskandar, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah.
Khairudin yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar Perak dan agensi yang menyumbang bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini di DUN Belanja.

Sementara itu, Khairudin berkata, seekor lembu turut disumbangkan kepada IPD Perak Tengah bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan berkenaan.
“Saya juga difahamkan bahawa sebanyak empat ekor lembu dikorbankan pada hari ini termasuk seekor yang disumbangkan melalui pihak saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka.
“Dianggarkan seramai 150 anggota dan keluarga mereka bergotong-royong melaksanakan ibadah korban ini dari sembelih, melapah dan akhirnya memasak,” katanya. -MG Perak


