GOPENG – Kerajaan Perak sedang menyusun langkah lebih proaktif untuk memastikan penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian di negeri ini terus bertambah.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia termasuklah memperkenalkan teknologi baharu dengan lebih dekat kepada golongan berkenaan.
“Kita juga telah dan akan memperkenalkan teknologi baharu seperti teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan sebagainya.
“Ini mungkin dapat menarik minat golongan belia untuk menceburi dalam pertanian, perikanan dan ternakan,” katanya ketika ditanya mengenai Laporan Interim Data Banci Pertanian 2024 Negeri Perak yang menunjukkan sektor pertanian di negeri ini masih bergantung kepada golongan warga emas.
Mohd Zolkafly turut menzahirkan keyakinan beliau bahawa penyertaan belia dalam sektor berkenaan akan bertambah susulan kehadiran golongan berkenaan dalam seminar, kursus dan siri jelajah pertanian yang dianjurkan kerajaan negeri sebelum ini.
“Saya penuh yakin bahawa kalau tengok maklum balas daripada seminar dan kursus yang kita buat seperti jelajah pertanian bandar dan sebagainya kebanyakan yang hadir adalah golongan belia.
“Jadi melalui jabatan dan agensi kita akan sentiasa membuat kekerapan untuk menggalakkan usahawan belia tani ini terlibat secara langsung dalam bidang pertanian,” katanya.
Terdahulu Mohd Zolkafly hadir merasmikan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Perak di Bangunan Pengurusan FAMA Negeri Perak, di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, pada Isnin.
Hadir sama Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Sementara itu, Mohd Uzir ketika ditanya soalan sama berkata, terdapat faktor tarikan dan tolakan yang mendorong kepada hasil dapatan bahawa pertanian di Perak masih bergantung kepada golongan warga emas.
Jelas beliau, ekonomi negara yang terus bertumbuh mewujudkan persaingan dalam kalangan anak muda yang lebih memilih sektor perkhidmatan dan pembuatan daripada pertanian.
“Kadang-kadang kita boleh melihat mobiliti daripada satu sektor kepada satu sektor dan ini usaha yang dilakukan kerajaan negeri termasuklah memperkenalkan IoT dan melaksanakan pertanian moden.
“Jadi dengan adanya data Banci Pertanian 2024 ini kita boleh ‘memprofailkan’ kedudukan belia di peringkat daerah dan kawasan yang mana kita ingin melihat petani yang berjaya menjadi mentor kepada golongan ini,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pertanian di Perak masih bergantung kepada warga emas – DOSM