IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerima royalti sebanyak RM30.88 juta hasil mengeksport 8,157.34 metrik tan nadir bumi karbonat (REC) ke China, sehingga Mei lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perolehan kadar royalti itu dijana melalui 24 kali penghantaran bahan mineral itu dari Perak ke negara tembok besar itu sejak Februari 2023.
“Tumpuan khusus kerajaan negeri dalam membangunkan industri mineral sebagai sumber hasil baharu menunjukkan kejayaan yang sangat signifikan.
“Dari segi kutipan royalti keseluruhan bahan mineral di Negeri Perak meningkat kepada RM1.30 juta pada 2023 berbanding RM1.01 juta tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Melalui soalan lisan, Kor Ming meminta Menteri Besar untuk menyatakan siri kejayaan dan pencapaian Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Jelas Saarani (BN-Kota Tampan), genap 597 hari usia Kerajaan Perpaduan Negeri Perak telah membuktikan kesungguhan dalam memelihara kesantunan berkerajaan untuk membawa Perak kembali ke landasan kestabilan.
Ujar beliau, ia sekali gus membolehkan negeri mencatatkan kejayaan demi kejayaan yang signifikan meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik.
“Dari aspek prestasi kewangan negeri, catatan surplus sebanyak RM29.6 juta yang direkodkan pada tahun 2022, telah berjaya ditingkatkan lebih dua kali ganda menjadi RM62.4 juta pada tahun 2023, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri.
“Kutipan hasil negeri yang direkodkan sebanyak RM1.093 bilion pada tahun 2022 telah berjaya dilonjakkan mencecah RM1.21 bilion pada tahun 2023, juga yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah, katanya lagi.
Tambah Saarani, Belanjawan Perak 2024 yang dibentang tahun lalu adalah tanda komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kemakmuran ekonomi yang sama-sama dikecapi agar dapat dikembalikan kepada rakyat bagi menyantuni golongan yang memerlukan.
Kata beliau, ia membuahkan pelbagai kejayaan termasuk peningkatan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat daripada RM300 kepada RM400 serta menoktahkan miskin tegar membabitkan 8,128 Ketua Isi Rumah (KIR), baru-baru ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: