IPOH – Kerajaan Perak tidak sekadar menunggu pelabur datang mengetuk pintu, sebaliknya mengambil pendekatan proaktif dengan turun padang mencari peluang serta bertemu syarikat berpotensi bagi menarik pelaburan berkualiti ke negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam dunia hari ini, persaingan mendapatkan pelaburan cukup sengit apabila pelabur mempunyai pelbagai pilihan bukan sahaja antara negeri di Malaysia, malah destinasi pelaburan lain di rantau ini.
Justeru, katanya, Perak perlu mempunyai tawaran yang cukup meyakinkan bagi memastikan negeri ini menjadi pilihan pelabur, selain mampu menjawab persoalan mengapa mereka perlu memilih Perak.
“Oleh itu, apabila kita mengajak pelabur melihat Perak, kita juga perlu memberikan sebab yang cukup meyakinkan untuk mereka memilih negeri ini.
“Bagi saya, ada dua perkara yang perlu kita jawab dengan jelas mengapa Perak, dan mengapa sekarang atau why Perak and why now?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Invest In Perak Day 2026’ di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan lndustri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menurutnya, pendekatan proaktif kerajaan negeri kini membuahkan hasil menerusi beberapa pelaburan strategik yang berjaya dibawa masuk melalui misi penggalakan pelaburan kerajaan negeri ke luar negara.
Beliau berkata, antara contoh kejayaan itu ialah Zhejiang Sinopont Technology yang dikenal pasti menerusi misi penggalakan pelaburan kerajaan negeri ke China pada 2023.
“Dalam misi tersebut, InvestPerak memeterai memorandum persefahaman dengan syarikat berkenaan dan tidak sampai setahun kemudian, pada Mac 2024, Sinopont membuka fasiliti pengeluarannya di Taman Perindustrian Tasek, di sini.
“Begitu juga apabila kita ke Eropah untuk bertemu dengan Saint-Gobain. Mereka kemudiannya mengumumkan pelaburan melebihi RM200 juta bagi tempoh 2025 hingga 2029 untuk mengembangkan kemudahan pembuatannya di Taman Perindustrian Kanthan, Chemor,” katanya.
Tambah Saarani, usaha itu diteruskan dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke China pada Mei lalu dengan kejayaan membawa pulang prospek dan komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion, melibatkan antaranya teknologi digital, kecerdasan buatan, tenaga hijau, automotif dan industri masa hadapan.
“Ini menunjukkan bahawa apabila kita bergerak secara proaktif, membuka ruang perbincangan dan membawa terus tawaran Perak kepada pelabur, hasilnya boleh diterjemahkan kepada komitmen pelaburan sebenar.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan ini supaya Perak bukan sekadar menjadi destinasi pilihan, tetapi negeri yang secara aktif mencari, menarik dan memudah cara pelaburan bernilai tinggi,” katanya. -MG Perak


